Abang Johari jumpa Dr Mahathir di Putrajaya


Chan Kok Leong

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad hari ini menerima kunjungan Ketua Menteri Sarawak, Abang Johari Abang Openg di pejabatnya di Putrajaya.

PERDANA Menteri Dr Mahathir Mohamad hari ini menerima kunjungan Ketua Menteri Sarawak, Abang Johari Abang Openg di pejabatnya di Putrajaya, petang tadi.

Abang Johari dipercayai ketua negeri pertama dari negeri yang diperintah oleh Barisan Nasional yang mengadakan kunjungan hormat ke atas ketua kerajaan persekutuan di bawah Pakatan Harapan.

Sumber yang maklum mengenai pertemuan dua pemimpin itu berkata, mereka mengadakan pertemuan di Pejabat Perdana Menteri lebih kurang pukul 3 petang.

“Ini hanya kunjungan hormat ketua menteri,” kata seorang sumber.

Difahamkan Abang Johari berangkat ke Kuala Lumpur pada pukul 10 pagi dan berlepas pulang ke Kuching pukul 5 petang.

Tidak jelas apa yang dibincangkan oleh dua pemimpin itu. Apa yang pasti, hubungan antara PBB pimpinan Abang Johari dan PH mula mesra sejak selepas Pilihan Raya Umum ke-14.

 

Ini adalah pertemuan pertama dua pemimpin itu sejak PPRU14 tiga minggu lalu, yang meninggalkan Sarawak antara tiga negeri kekal di bawah BN ketika sementara seluruh negara beralih ditadbir oleh PH.

PRU14 itu juga satu tamparan hebat kepada BN Sarawak apabila kehilangan tambahan enam lagi kerusi kepada DAP dan PKR termasuk di kawasan pinggir bandar dan luar bandar iaitu Mas Gading, Puncak Borneo, Saratok dan Selangau. Dua calon bebas menang kerusi Julau dan Lubok Antu.

Abang Johari dalam reaksi awal pada malam keputusan PRU14 tidak menyembunyi kekecewaannya dan berkata BN Sarawak terjejas kerana isu nasional.

Minggu lalu, Abang Johari berterima kasih kepada Ketua Umum PKR, Anwar Ibrahim yang berjanji akan mengembalikan hak Sarawak di bawah Perjanjian Malaysian 1963, sejajar dengan apa yang dijanjikan oleh PH dalam manifestonya.

Abang Johari setakat ini menekan BN Sarawak tidak akan menyertai PH dan sebarang keputusan mengenai nasib BN negeri akan dibuat bersama dengan parti komponen yang lain.

Beliau membuat kenyataan itu ketika ada desakan kuat dalam kalangan pemimpin negeri yang mahu PBB keluar dari BN dan membentuk pakatan politik baru bersama parti-parti tempatan di Sarawak.

BN Sarawak menang 19 daripada 31 kerusi Parlimen dengan pecahan 13 kerusi PBB, SUPP satu kerusi, PRS tiga kerusi dan PDP dua kerusi.

Pada pilihan raya negeri 2016, BN Sarawak mengekalkan mandat rakyat dengan kemenangan besar 72 daripada 82 kerusi di dewan undangan negeri.– 31 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen