PENYELARAS Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi Proses Damai Timur Tengah, Nickolay Mladenov, pada Rabu mengutuk peningkatan kekerasan di Gaza, lapor agensi berita China Xinhua.
“Tempoh dua hari lepas telah menyaksikan peningkatan kekerasan paling serius di Gaza sejak konflik antara Hamas dan Israel bermula pada 2014. Kami berada di ambang peperangan setiap hari,” katanya kepada Majlis Keselamatan PBB.
Antara Isnin dan Rabu, kira-kira 216 projektil, roket dan peluru mortar telah ditembak dari Gaza ke arah Israel, beliau memetik Angkatan Pertahanan Israel sebagai berkata.
Meskipun kebanyakan projektil telah dipintas oleh sistem Iron Dome, satu daripadanya terkena halaman tadika di sebuah kibbutz berhampiran sempadan Gaza dan sekurang-kurangnya memusnahkan sebuah rumah.
Sebagai tindak balas, Tentera Udara Israel telah melancarkan serangan ke atas sasaran 65 Hamas dan Islamic Jihad di Gaza serta memusnahkan sebuah terowong sepanjang dua kilometer berhampiran persimpangan Kerem Shalom.
Mladenov berkata mujurlah tiada kecederaan di kedua-dua pihak.
“Serangan sedemikian tidak boleh diterima langsung. Tembakan roket dan mortar ke arah orang awam tidak boleh dibenarkan dalam apa jua keadaan.
“Saya menggesa komuniti antarabangsa untuk turut serta mengutuk kesemua serangan ini yang menyasarkan orang awam dan peningkatan kekerasan yang berbahaya di Gaza,” kata Mladenov dalam satu mesyuarat tergempar Majlis Keselamatan yang diminta diadakan oleh Amerika Syarikat. – Bernama, 31 Mei, 2018.
Komen