Tiada siapa mahu beli Air India


Air India bergelut hutang dan rugi, kerajaan memutuskan untuk lelong sehingga 76% kepentingan tetapi tiada pihak yang berminat. – Gambar AFP, 31 Mei, 2018.

KERAJAAN India mungkin perlu memikirkan kembali tindakannya melelong majoriti saham dalam syarikat penerbangan negara sarat hutang, Air India kerana masih tiada bidaan diterima walaupun tarikh tutup pada Khamis.

Tarikh itu sudahpun dianjakkan selama tiga minggu kerana tiada pihak berminat dan Setiausaha Penerbangan Awam R N Choubey mengatakan pada Rabu yang masih tiada tawaran dibuat pembeli.

Kerajaan masih berharap kepada bidaan lewat- jam terakhir pada 1130 GMT- tetapi menambah yang lelongan itu tidak akan dilanjutkan, lapor Press Trust of India.

Penganalisis penerbangan mengatakan masih ada harapan untuk bidaan dilakukan jika kerajaan mengubah terma jualan.

“Kekurangan bidaan mengecewakan kerajaan,” kata syarikat penganalisis di Mumbai kepada AFP.

“Kerajaan boleh tangguh tarikh tetapi pasaran tak berminat.”

28 Mac lepas, kerajaan mengumumkan untuk menjual sehingga 76% kepentingan syarikat itu, tetapi syarikat dan pelabur bimbang tentang terma jualan dan keengganan kerajaan mengubahnya menyukarkan keadaan.

Tata Group dari India, Singapore Airlines (SIA) yang berpakat dengan Vistara dan InterGlobe Aviation Ltd, pemilik Indigo pada awalnya berminat tetapi sudah menarik diri.

Indigo mahu mengambil alih operasi antarabangsa Air India.

Air India diasaskan pada 1932 pernah memonopoli industri penerbangan negara itu dan dikenali sebagai “Maharaja Langit.”

Tetapi aliran tunainya semakin buruk dan kehilangan pasaran kepada pesaing pesawat penerbangan murah.

Kerajaan sebelum ini menghabiskan berbilion dolar untuk menyelamatkannya sebelum Kabinet Perdana Menteri Narendra Modi tahun lepas memutuskan untuk menjualnya.

Air India berhutang hampir AS$8 bilion dan dilaporkan rugi hampir AS$866 juta bagi tahun kewangan berakhir Mac 2017. – AFP, 31 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen