POLIS Kenya kini diletak dalam keadaan berjaga-jaga selepas empat suspek militan al-Shabaab dipercayai telah menyusup masuk ke negara itu dari pangkalan mereka di negara jiran Somalia dan meminta rakyat Kenya, terutama yang berada di daerah utara Mandera, Wajir dan Garissa, agar berwaspada serta menyalurkan maklumat kepada polis mengenai keempat-empat suspek.
Kesemua suspek, yang diketuai individu bernama Ibrahim Mohammed alias Shariif Li Kului, dikatakan merancang serangan pengganas di Kenya ketika umat Islam menjalani ibadat puasa di bulan Ramadan.
Tiga lagi suspek yang dinamakan oleh polis ialah Mumina Eroba, Abdiwahab Osman Ahmed dan Ahmed Dabar.
Mereka dipercayai telah menyusup masuk ke negara itu melalui kawasan berbukit di sepanjang sempadan Kenya-Somalia di Mandera, Wajir atau Garissa, yang didakwa polis menjadi tempat transit kumpulan pengganas.
Kului dikatakan telah menghantar Ahmed Dabar untuk mencari sasaran, termasuk kakitangan kerajaan, untuk diperguna dalam serangan yang bakal dilancarkan di Mandera dan Wajir.
Polis menggesa penduduk tempatan di kawasan terbabit agar lebih berhati-hati.
Mereka berkata Ahmed Dabar, yang berasal dari Daerah Wajir, merupakan bekas penuntut Madarasatul Muad dan pernah terlibat dalam serangan pada Februari 2018 yang dilancarkan terhadap guru-guru sekolah rendah Qarsa di Daerah Wajir.
Abdiwahab Osman Ahmed juga berasal dari Daerah Wajir.– Bernama, 31 Mei, 2018.
Komen