APABILA Lee Hsien Yang dan saudara perempuannya mengeluarkan kenyataan bersama mengejutkan mengenai abang sulung mereka Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong, mereka cuba membuang naratif yang ia adalah sengketa peribadi keluarga.
Hsien Yang dan Lee Wei Ling mahu memperlihatkan saudara mereka menggunakan semua organ negara untuk memberi tekanan kerana berpegang teguh kepada pendirian untuk melaksanakan permintaan terakhir Lee Kuan Yew agar rumahnya di Oxley Road dirobohkan.
Mereka mahu menonjolkan diri sebagai pembela pihak tertindas dalam sengketa ini dengan pemegang kuasa terbesar di Singapura, lelaki yang mereka dakwa bersedia menggunakan semua kuasa untuk memastikan keadaan berlaku mengikut kehendaknya.
Rakyat biasa menentang saudara yang mempunyai kuasa dengan kekuatan kerajaan Singapura pada tangannya. Ia mempunyai imej yang kuat kepada rakyat negara itu yang sering merungut dengan belenggu peraturan ketat dalam semua hal, daripada pengharaman gula-gula getah hinggalah pasaran hartanah.
Apabila kedua beradik itu berbicara tentang pengaruh tamak haloba isteri Hsien Loong, Ho Ching, mengenai semua perkara di Singapura, mereka hanya memberi bahan kepada perbincangan yang berlaku di kalangan pengkritik selama bertahun lamanya.
Semua sedia maklum yang bos Temasek Holdings itu adalah individu berpengaruh di Singapura. Sejak bertahun lamanya, malah ahli politik Malaysia dan tokoh korporat akan menemui beliau, sebagai menghormati kedudukannya dalam dana pelaburan kekayaan negara dan peranan beliau dalam keluarga Lee.
Tetapi dengan menyatakan isteri Kuan Yew tidak pernah menuntut gelaran wanita pertama dan memberi arahan kepada pegawai tinggi kerajaan, Hsien Yang dan kakaknya mendakwa seseorang individu yang tidak dipilih mengatasi sistem tadbir urus Singapura. Pendek kata, sistem yang dilaksanakan Kuan Yew dirampas.
Begitu juga, apabila adik-beradik itu mencadangkan PM Singapura sedang mempersiapkan anak lelakinya sebagai perdana menteri masa depan, mereka berharap dapat membangkitkan sentimen dalam hati rakyat republik itu yang tidak gemarkan dinasti politik.
Mereka juga turut berharap dapat menamatkan apa sahaja aspirasi anak Lee untuk bagi mendapatkan kedudukan tinggi dalam kerajaan.
Difahami, kenyataan bersama semalam bertujuan memberitahu rakyat Singapura dan dunia yang perbalahan di antara mereka dan Hsien Loong bukanlah sengketa keluarga semata-mata yang lebih baik diselesaikan secara tertutup.
Tetapi Hsien Yang, saudara perempuan dan isterinya, Lee Suet Fern, berjuang menyakinkan Hsien Loong adalah individu yang perlu ditakuti.
Kebanyakan rakyat Singapura percaya perpecahan dalam hubungan keluarga itu semata-mata disebabkan perselisihan melaksanakan wasiat Kuan Yew.
Di samping itu, memandangkan ketidaktentuan ekonomi di Singapura dan ancaman keganasan di rantau ini, rakyat Singapura percaya sengketa keluarga sebagai sesuatu yang tidak perlu kepada PM Lee.
Justeru, perbalahan di antara Lee akan tenggelam dalam satu atau dua minggu. Sehingga itu, Hsien Yang dan Wei Ling akan terus menghakis imej Hsien Loong.
Malam tadi, Hsien Yang tertanya-tanya mengapa jawatankuasa peringkat menteri ditubuhkan untuk mempertimbangkan pelbagai pilihan untuk rumah keluarga di Oxley Road.
Beliau berkata ini adalah satu contoh utama bagaimana beliau dan saudara perempuannya, pelaksana wasiat Kuan Yew dianiaya.
“Kenapa ada jawatankuasa kabinet apabila PM Lee mengumumkan di Parlimen selagi Wei Ling tinggal di sana, tiada apa perlu dilakukan?” Soalnya.
Beliau juga berasa jengkel apabila jawatankuasa itu menyoal mengenai cara wasiat terakhir disediakan dan peranan isterinya – Suet Fern – dalam menyediakan wasiat terakhir itu.
Suet Fern adalah peguam korporat terkenal.
Hsien Yang berkata isterinya tiada sebarang dalam menyediakan wasiat terakhir sambil menambah ia disediakan sepupunya.
Beliau berkata probet diperoleh pada wasiat terakhir. Oleh itu, ia muktamad dan dipersetujui.
“Jika Lee Hsien Loong mempunyai sebarang keraguan tentang kesahihan wasiat terakhir, beliau sepatutnya mencabar di mahkamah. Terus terang, ia tidak wajar menggunakan Jawatankuasa Kabinet untuk meneruskan isu seperti ini apabila saluran yang betul ada di mahkamah.” – 15 Jun, 2017.
Komen