‘Pembunuhan’ wartawan Rusia, lakonan pihak berkuasa Ukraine


Bunga diletakkan di bawah gambar wartawan Arkady Babchenko di Moscow, ketika kononnya dia dibunuh di pangsapurinya pada 29 Mei lalu. – Gambar AFP, 31 Mei, 2018.

PIHAK berkuasa Ukraine mendedahkan berita kematian seorang wartawan terkenal Rusia akibat dibunuh semalam, sebenarnya satu lakonan bagi membongkar plot pembunuhan membabitkan wartawan berkenaan, lapor agensi berita Xinhua.

Pada satu sidang media pada Rabu, Ketua Perkhidmatan Keselamatan Ukraine (SBU), Vasyl Hyrtsak turut mengumumkan, pihak bekuasa berjaya menangkap suspek yang terlibat di sebalik plot pembunuhan Arkady Babchenko itu.

“Pembunuhan palsu itu sebenarnya satu operasi khas SBU untuk membongkar plot yang dirancang untuk membunuh Babchenko dan beberapa orang lain,” katanya.

Pada Selasa, pihak berkuasa berkata Babchenko yang bertugas di televisyen ATR Ukraine maut akibat ditembak di apartmentnya dan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital.

Terdahulu pada Rabu, Babchenko membuat kejutan apabila muncul pada sidang akhbar SBU di Kiev, yang disiarkan secara langsung di beberapa saluran televisyen Ukraine.

Babchenko, 41, bertugas sebagai wartawan membuat liputan mengenai peperangan untuk akhbar Moskovsky Komsomolets dan beberapa media lain yang berpangkalan di Moscow.

Pada Februari 2017, beliau berpindah dari Moscow ke Prague, ibu kota Republik Czech, selepas menerima beberapa ancaman, sebelum berpindah ke Kiev pada Ogos tahun yang sama.

Beliau juga pernah menulis beberapa buah buku bertemakan ketenteraan yang diterjemahkan ke dalam 16 bahasa. – Bernama, 31 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen