Status Jakim: Takut dan latah rugikan Melayu Islam


Zainal Rashid Ahmad

Umat Islam jangan melatah supaya tidak terlepas peluang mempromosi kekuatan dan keupayaan Islam sebagai ajaran yang mampu menjadi teras kepada pembinaan tamadun Malaysia baharu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Mei, 2018.

ORANG Melayu Islam di negara ini sudah lama hidup dengan berpegang pada dua perkara yang dianggap sebagai paksi keperibumian mereka.

Sejak era menentang Malayan Union tajaan Inggeris pada 1946 dalam usaha awal membentuk Tanah Melayu sampailah Merdeka, orang Melayu sangat melindungi beberapa perkara yang dekat dengan mereka.

Antaranya kedudukan agama Islam dan hak sebagai peribumi – dua perkara yang dimaktubkan melalui Artikel 3 dan Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan, yang dianggap wujud atas perjuangan maruah yang bersejarah.

Justeru, tipa induk yang dibentuk secara sejarah sejak 72 tahun lalu – kekal ditafsirkan sebagai maruah Melayu Islam.

Jadi, tidak hairanlah sekiranya isu UiTM yang dibangkitkan Hindraf 2.0 pada 28 Mei dan kenyataan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad semalam berhubung kajian semula ke atas peranan Jakim mencetuskan respons yang agak panik.

Akhbar-akhbar Melayu yang konservatif sangat melatah. Respons yang disiarkan seolah-olah, satu keputusan muktamad telah pun dicapai. Nada reaksi seakan-akan UiTM sah akan dibuka kepada pelajar pelbagai kaum.

Manakala, dalam isu Jakim pula, suara aktivis Melayu Islam terdengar melatah dan melampaui konteks sebenar dalam kenyataan Dr Mahathir.

Respons Dr Mahathir semalam, sebagai menjawab soalan wartawan mengenai Jakim. Kata PM, kerajaan akan mengkaji semula hala tuju, peranan serta fungsi Jakim. Namun, tularan respons pemimpin NGO dan aktivis Islam, nadanya seakan-akan Jakim akan dimansuhkan.

Pasca PRU14 membentuk episod baharu dalam landskap politik negara. Pada era kerajaan PH yang dibentuk melalui kepelbagaian parti dan ideologi, sudah tentu kedudukan semua jabatan dan agensi strategik memerlukan kajian holistik.

Untuk itu, perkara pertama perlu disedari Melayu Islam ialah, era BN yang didominasi Umno sudah berlalu. Peranan menonjol Umno yang sentiasa bersikap protektif dalam perkara berkaitan Melayu dan Islam sudah berakhir.

Namun, ia tidak bererti kerajaan PH mahu melenyapkan semua jabatan, agensi atau institusi berkaitan Melayu dan Islam. Dalam konteks ucapan Dr Mahathir semalam, hujah PM sebenarnya mudah difahami.

PM merujuk pada meneliti peranan dan fungsi Jakim. Jadi, boleh difahami niat menubuhkan jawatankuasa yang disertai cendekia agama dan kumpulan pemikir sosial, bertujuan mencari formula terbaik bagi masa depan Jakim.

Ia langsung tidak merujuk pada isu Jakim akan dimansuhkan. Konteks jawapan PM ialah, kerajaan akan mengkaji dan mencari formula terbaik bagi mengukuhkan peranan Jakim pada masa akan datang.

Jakim, yang pada awalnya dikenali sebagai Bahagian Hal Ehwal Islam (Baheis, 1984-1996) ditubuhkan pada 1997 atas inisiatif Dr Mahathir ketika menjadi PM pada era kerajaan BN.

Fungsinya jelas, menjadi pemangkin penyuburan Islam dalam agenda negara. Memandangkan Malaysia mahu menyertai proses tamadun dunia yang progresif, Jakim dilihat sebagai pusat sumber idea bagi membantu kerajaan membina Malaysia sebagai negara Islam yang moden dan dinamik untuk rakyat pelbagai agama.

Agak sedih, pada era pasca PRU14, ketika kita sedang membina Malaysia baharu yang lebih fleksibel dan terbuka dalam konteks penyataan idea dan pembaharuan, isu-isu berkaitan Melayu dan Islam lebih banyak dilatahkan. Kita tidak tertarik untuk bersikap proaktif dalam menyumbangkan idea pembaharuan.

Aktivis Melayu Islam serta NGO berkaitan, perlu sedar. Ini era baharu, di mana sikap proaktif dan dinamik amat diperlukan. Bukan latahan dan respons panik yang tidak menjana idea untuk melangkah ke hadapan.

Jakim sudah melalui empat dekad sejarahnya. Setelah wujud gelombang perubahan mendadak pada PRU14, orang Melayu Islam juga harus menyedari, realiti persekitaran negara menuntut pembaharuan.

Jakim tidak lagi sekadar institusi yang klasik dengan retorik populis dalam isu berkaitan ajaran sesat atau pertentangan mazhab. Jakim tidak boleh tepu dengan agenda menentang liberalisme agama, atau sekadar sensitif pada isu Seksualiti Merdeka. Atau, menjadi super hero menentang pesta arak dan LGBT.

Jakim harus muncul dengan keperkasaan baharu, sesuai dengan kewujudannya sebagai institusi elit bagi memperkasakan Islam. Jakim bukan lagi jabatan dengan agenda momokan ketakutan terhadap kristianisasi, atau keresahan melampau mengenai kehadiran aktivis-aktivis pro liberal dari luar negara.

Jakim tidak wajar hanya bersifat defensif. Jakim memerlukan penjenamaan yang dinamik. Ia harus muncul menjadi agen intelektual yang mempromosi Islam di Malaysia sebagai indikator utama yang mampu menyumbang pada pembentukan peradaban dan tamadun dunia.

Jakim perlu menjadi pusat kesejahteraan dalam menanggapi pertembungan ideologi hak asasi barat dengan isu-isu fundamental Islam. Sudah tentu dalam konteks ini, kita mengharapkan Jakim mempertahankan kesyumulan Islam.

Cuma, caranya melalui tindakan yang bijaksana dan sejajar dengan tamadun sejagat yang mahukan dialog penolakan yang harmoni.

Jakim perlu tampil dengan idea-idea Islam mampu mewakili idealisme Malaysia yang majmuk.

Respons yang emosional dan bersifat latahan, hanya akan memburukkan keadaan. Jadikan kenyataan terbuka Dr Mahathir sebagai peluang kita menyumbang idea untuk memperkasakan Jakim.

Jangan meroyan. Nanti kita terlepas peluang mempromosi kekuatan dan keupayaan Islam sebagai ajaran yang mampu menjadi teras kepada pembinaan tamadun Malaysia yang baharu. – 31 Mei, 2018.

* Ini adalah pendapat penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insight.

* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen