SEORANG pereka fesyen Indonesia yang terkenal dengan koleksi rekaan bertemakan Islam dihukum penjara 18 tahun di republik itu semalam selepas disabitkan bersalah atas pertuduhan pengubahan wang haram dan penipuan jutaan dolar.
Mahkamah di Jakarta mensabitkan Anniesa Hasibuan, 31, dan suaminya bersalah menipu pelanggan yang menempah pakej umrah dan haji ke Mekah menerusi agensi pelancongan mereka.
Pasangan itu dituduh menipu ribuan pelanggan dengan nilai sekurang-kurangnya 848 bilion rupiah (AS$60 juta).
Pada 2016, koleksi fesyen Hasibuan dipamerkan di Minggu Fesyen New York di mana semua modelnya memakai tudung dan berpakaian Muslimah, rekaan kali pertama seumpamanya diperagakan di acara berprestij itu.
Hasibuan dan suaminya Andika Surachman menubuhkan First Travel yang berpangkalan di Jakarta pada 2009 untuk mengendalikan perjalanan ke Arab Saudi. Tetapi ia tidak menghantar pelanggan ke Mekah sejak tahun lalu walaupun menerima wang, menurut keterangan di mahkamah.
Mahkamah mendenda Hasibuan 10 bilion rupiah dan menjatuhkan hukuman penjara 20 tahun ke atasnya dan suami.
Rekaan Hasibuan pernah dipamerkan di London, Istanbul dan Cannes, dengan Minggu Fesyen New York menggelarnya sebagai bintang yang semakin bersinar dalam dunia fesyen.
Hasibuan juga terkenal dengan gaya hidup mewah, sering memuat naik gambarnya dan suami berjalan ke luar negara dan memakai pakaian mahal. – 31 Mei, 2018.
Komen