Sejuta pekerja bank India mogok, lumpuhkan sistem kewangan


Jumlah pinjaman bank gagal dibayar di India cecah AS$12 bilion menyebabkan gaji pekerja bank tidak naik banyak mencetuskan kemarahan mereka atas kegagalan kerajaan bertindak. – Gambar AFP, 30 Mei, 2018.

HAMPIR sejuta pekerja bank memulakan mogok di seluruh India hari ini, kata wakil kesatuan buruh, mendesak gaji lebih tinggi dan tindakan kerajaan terhadap syarikat yang gagal melunaskan pinjaman mereka.

Hampir 5,000 pekerja melaungkan slogan dan mengangkat sepanduk di pusat kewangan negara itu, Mumbai, kata Ketua Kesatuan Sekerja Devidas Tuljapukar mendakwa mereka terkesan dengan hutang yang sedang meningkat naik di India.

Ekonomi baru Asia itu mempunyai kadar kegagalan menjelaskan hutang tertinggi dalam pasaran negara membangun, mencecah berbilion dolar aset tak mampu bayar (NPA).

Mogok dua hari itu yang akan tamat esok menyebabkan ribuan cawangan bank terpaksa ditutup, melumpuhkan operasi kewangan di sesetengah kawasan negara itu.

Pekerja juga tidak gembira dengan tawaran peningkatan gaji sebanyak 2% berbanding kadar inflasi yang naik 4.5%.

“Justifikasi pekerja bank untuk peningkatan gaji adalah satu kerugian kepada bank,” kata Tuljapurkar dari Kesatuan Sekerja Bank India dalam satu kenyataan.

“Bagaimanapun..syarikat besar yang sebenarnya merugikan bank. Tetapi pekerja dan pegawai biasa yang terpaksa menanggung rugi dan tidak dapat berkongsi keuntungan bank.”

Masalah gagal bayar pinjaman India mendapat tumpuan ramai pada Mac 2016 apabila taikun arak dan syarikat penerbangan, Vijay Mallya melarikan diri ke UK untuk mengelak daripada membayar hampir AS$1 bilion (RM4 bilion) pinjaman bank.

Awal tahun ini, kerajaan mengatakan jumlah pinjaman gagal dibayar dengan bank negara itu berjumlah lebih AS$12 bilion. – AFP, 30 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen