NAJIB Razak malam ini mempertahankan projek Keretapi Berkelajuan Tinggi Singapura-Kuala Lumpur (HSR), meminta kerajaan Pakatan Harapan pimpinan Dr Mahathir Mohamad menjelaskan kosnya yang didakwa mencecah RM110 bilion dan tidak melakukan keputusan berdasarkan emosi.
Bekas perdana menteri itu mengatakan projek mega itu perlu dilihat daripada kesan berganda dan pemangkin yang dimilikinya, malah mendakwa ekonomi negara akan “menyusut” disebabkan pembatalan itu.
“Zaman kini sudah berubah dan ekonomi hari ini lebih sofistikated dari dulu dan adalah mengecewakan jika Perdana Menteri gagal melihat pulangan projek ini sebagai pemangkin ekonomi seperti HSR ini di luar skop hasil jualan tiket sahaja,” katanya dalam catatan di Facebook malam ini.
Najib berkata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad sepatutnya menjelaskan bagaimana kerajaan PH boleh mendakwa kos projek HSR adalah RM110 bilion berbanding RM72 bilion yang dianggarkan oleh kerajaan BN.
“Adakah angka ini juga dinaikkan atas dasar politik sebagaimana dilakukan terhadap angka RM1 trilion bagi ‘hutang negara?’ tanya Najib.
Bekas perdana menteri itu berkata projek tersebut boleh menjana RM650 bilion bagi GNI (Pendapatan Negara Kasar ) sehingga 2069 jika ia dilaksanakan.
Malah ia akan mewujudkan setengah juta peluang pekerjaan, kata Najib.
“Unjuran yang terkandung dalam laporan berkenaan yang pernah saya lihat menunjukkan manfaat ekonomi sehingga RM650 bilion bagi GNI sehingga 2069.
“Manakala akan wujud 110,000 peluang pekerjaan dan ia diunjurkan akan meningkat sehingga 442,000 menjelang 2069,” kata Ahli Parlimen Pekan itu di Facebooknya. – 30 Mei, 2018.
Komen