Polis mohon waran tangkap ke atas Jamal


Muzliza Mustafa

Polis akan memohon waran tangkap ke atas Ketua Gerakan Baju Merah Jamal Yunos yang enggan memberikan kerjasama dalam siasatan 9 kes terhadapnya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Mei, 2018.

POLIS akan memohon waran tangkap ke atas pemimpin kontroversi Umno Jamal Yunos yang enggan memberikan kerjasama dalam siasatan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Fadzil Ahmad berkata polis sudah memberikan peluang dan masa kepada Jamal menyerah diri untuk membantu siasatan berkaitan dirinya tetapi ketua Geng Baju Merah itu enggan bekerjasama.

Jumaat lalu, dia melarikan diri dari sebuah hospital swasta di Ampang ketika dalam tahanan reman dan hari ini gagal muncul di Ibu Pejabat Polis Ampang walaupun sudah berjanji akan memberikan keterangan.

Sebaliknya, Jamal muncul dalam sebuah rakaman video meminta menteri dalam negeri memberi jaminan yang dia tidak akan “dizalimi” sekiranya menyerah diri.

“Pihak polis telah memberikan masa yg cukup untuk DSJ (Jamal) memberikan kerjasama dalam semua siasatan dan prosedur yang sedang dijalankan namun beliau masih gagal untuk memberikan respons yang sepatutnya. Malah sentiasa cuba berdolak dalik dalam kenyataan kenyataan viral yang dilakukan beliau,” kata Fadzil dalam satu kenyataan petang tadi.

“Setakat ini terdapat baki 6 kes yang disiasat melibatkan DSJ (Jamal)  selain 3 kes yang telah dituduh di Hospital Ampang Putri pada 25/5/18 yang lalu. (9 kes keseluruhan),” katanya lagi.

Dalam video yang dikeluarkan hari ini, Jamal mendakwa ada orang “berkuasa” yang menggunakan polis untuk menangkapnya.

Katanya juga, dia tidak menolak undang-undang tetapi merasa diri menjadi mangsa apabila disenarai hitamkan oleh Jabatan Imigresen, diletakkan dalam pantauan polis dan diisytiharkan sebagai orang merbahaya, mendakwa haknya selaku rakyat Malaysia dicabuli.

“Saya bukannya menolak pelaksanaan undang-undang terhadap saya tetapi apabila yang berlaku terhadap saya ini nama saya disenarai hitamkan dan diletak dalam langkah keselamatan khas oleh PDRM, rakan-rakan saya yang dua tahun lalu terlibat dengan Gerakan Baju Merah ditangkap dan dituduh sekarang ini minggu lepas SPRM menyerbu kediaman saya pejabat dan beberapa tempat lain,” kata ketua Umno Bahagian Sungai Besar itu.

Video itu diakhiri dengan desakan Jamal supaya polis memberikannya lebih banyak masa. – 30 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen