Amsterdam gesa Moscow bertanggungjawab tembak MH17


Pada Khamis, Pasukan Siasatan Bersama (JIT) telah mengeluarkan penemuan tambahan berdasarkan bukti sah dan kukuh bahawa sistem peluru berpandu Buk yang menembak jatuh pesawat MH17 adalah milik Briged ke-53 Peluru Berpandu Anti-Pesawat tentera Rusia. – Gambar AFP, 30 Mei, 2018.

AMSTERDAM pada Selasa menggesa Moscow agar menerima tanggungjawab bagi tindakan menembak jatuh pesawat Malaysia Airlines penerbangan MH17 di timur Ukraine pada 17 Julai 2014, lapor agensi berita China Xinhua.

“Telah dibuktikan bahawa penerbangan MH17 telah ditembak jatuh oleh sebutir peluru berpandu Buk TELAR milik tentera Rusia. Rumusan ini bukan dicapai dengan mudah. Ia adalah hasil kajian dan analisis yang intensif serta mendalam,” kata Menteri Luar Belanda, Stef Blok, kepada Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Pada Khamis, Pasukan Siasatan Bersama (JIT) telah mengeluarkan penemuan tambahan berdasarkan bukti sah dan kukuh bahawa sistem peluru berpandu Buk yang menembak jatuh pesawat MH17 adalah milik Briged ke-53 Peluru Berpandu Anti-Pesawat tentera Rusia.

Blok berkata atas dasar ini, Australia dan Belanda telah mengumumkan pada Jumaat lepas bahawa mereka memutuskan bahawa Rusia perlu memikul tanggungjawab atas peranannya dalam menembak jatuh pesawat penumpang malang itu.

Belanda dan Australia turut menggesa Rusia melibatkan diri secara serius dan membina dalam perkara itu selain menerima tanggungjawab dengan bekerjasama sepenuhnya dengan siasatan jenayah JIT yang sedang berjalan.

Blok berkata tindakan menembak jatuh penerbangan MH17 adalah satu peringatan yang nyata bagaimana konflik bersenjata di satu bahagian dunia boleh menjejaskan sesiapa sahaja, dan pada bila-bila masa.

‘’Ini adalah satu lagi sebab mengapa komuniti antarabangsa tidak boleh membenarkan konflik sebegini berterusan,’’ katanya pada mesyuarat Majlis Keselamatan berhubung konflik di timur Ukraine.

Sementara itu, Duta Rusia ke PBB, Vassily Nebenzia, memaklumkan Majlis Keselamatan bahawa negaranya enggan menerima penemuan JIT yang diketuai Belanda.

Kementerian Pertahanan Rusia pada Jumaat membantah penemuan itu dengan mendakwa tiada peluru berpandu anti-pesawat baharu yang merentasi sempadan ke Ukraine sejak 1991.

Penerbangan MH17 telah ditembak jatuh di timur Ukraine pada 17 Julai 2014 ketika dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur. 

Kesemua 298 orang yang berada dalam pesawat itu terbunuh, termasuk 196 rakyat Belanda. – Bernama, 30 Mei, 2018. 

 

Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen