Wartawan Rusia maut ditembak di Ukraine


Arkadiy Babchenko bertugas sebagai wartawan membuat liputan mengenai peperangan untuk akhbar Moskovsky Komsomolets dan beberapa media lain yang berpangkalan di Moscow. – Gambar AFP, 30 Mei, 2018.

WARTAWAN Rusia, Arkadiy Babchenko yang bertugas di televisyen ATR Ukraine maut akibat ditembak dalam satu kejadian di Keiv, lapor agensi berita Xinhua, memetik pihak berkuasa Ukraine pada Selasa.

Menerusi tulisan angggota parlimen Ukraine, Anton Gerashchenko di Facebook, Babchenko ditemui di tangga rumahnya berlumuruan darah dan disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital.

Ketua Polis Kiev, Andriy Kryschenko memberitahu media tempatan, siasatan terpeinci akan dijalankan bagi mengenal pasti motif pembunuhan.

Babchenko, 41, bertugas sebagai wartawan membuat liputan mengenai peperangan untuk akhbar Moskovsky Komsomolets dan beberapa media lain yang berpangkalan di Moscow.

Pada Februari 2017, beliau berpindah dari Moscow ke Prague, ibu kota Republik Czech, selepas menerima beberapa ancaman, sebelum berpindah ke Kiev pada Ogos tahun yang sama.

Babchenko juga pernah menulis beberapa buah buku bertemakan ketenteraan yang telah diterjemahkan ke dalam 16 bahasa.

Kejadian itu merupakan pembunuhan kedua membabitkan wartawan terkemuka dalam masa kurang dari dua tahun.

Sebelum ini pada Julai 2016, Pavel Sheremet, yang bekerja dengan akhbar penyiasatan dalam talian Ukrainska Pravda, terbunuh dalam satu insiden letupan kereta. – Bernama, 30 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen