-2.jpg)
SAYA rasa terpanggil untuk menulis komen mengenai isu UiTM ini memandangkan terlampau ramai yang telah lama menjadikan isu UiTM ini sebagai modal politik demi kepentingan peribadi sendiri.
1. Tiada undang-undang yang memperuntukkan bahawa UiTM hanya dikhaskan untuk Bumiputera
Ramai yang berkhutbah bahawa Akta Universiti Teknologi Mara 1976 (pada mulanya ia dikenali sebagai Akta ITM 1976, sebelum namanya dipinda dalam tahun 2000) mengkhususkan UiTM hanya untuk Bumiputera sahaja.
Apabila dirujuk kepada Akta tersebut dan diingatkan bahawa tiada peruntukan di bawah mana-mana seksyen yang mengatakan sedemikian, ramai yang terus menunjukkan kepada Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.
Penjelasan mereka ini lebih mendatangkan masalah kerana Perkara 153 bukan hanya untuk Bumiputera kerana secara terang dan jelas kuasa Yang Di-Pertuan Agong dalam Perkara 153 adalah untuk “melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak dan kepentingan sah kaum-kaum lain…”.
Ia juga melibatkan “kepentingan sah kaum-kaum lain”, bukan untuk orang Melayu sahaja.
Tajuk Perkara 153, “Perizaban kuota” juga amat penting dilihat kerana adakah manusia yang berakal sempurna boleh mengatakan bahawa mengkhaskan keseluruhan universiti awam itu untuk satu golongan boleh dikatakan sebagai “kuota”?
Lebih-lebih lagi untuk mengkhaskan mana-mana “jawatan dalam perkhidmatan awam (selain perkhidmatan awam sesuatu Negeri) dan daripada biasiswa, danasiswa dan keistimewaan pendidikan atau latihan yang seumpamanya”, yang hanya boleh dibuat dalam “perkadaran yang munasabah”.
Maka bagi kami yang mengajar subjek Undang-Undang Perlembagaan, kami musykil kenapa dan bagaimanakah kata kunci “perkadaran yang munasabah” ini langsung tidak disentuh dan tidak pernah dirujuk oleh mereka yang kononnya pejuang hak melayu.
Kita rujuk juga kepada pindaan Perlembagaan Persekutuan yang dibuat pada tahun 1971. Pada masa tersebut, kerajaan Tun Abdul Razak telah menerbitkan Kertas Putih bertajuk “Ke Arah Negara Harmoni” untuk menerangkan kepada rakyat tujuan kerajaan meminda Perkara 153 dengan memasukkan Fasal 8A.
Perenggan 16 Kertas Putih itu menyatakan memberikan biasiswa kepada semua pelajar Melayu di Universiti tanpa mengambil kira latarbelakang kewangan keluarga mereka adalah sesuatu yang tidak adil kerana biasiswa diberikan kepada pelajar-pelajar Melayu yang berkelayakan berdasarkan persaingan antara mereka dan juga ujian saringan latar belakang kewangan/ekonomi keluarga.
Perenggan 16 ini selaras dengan tuntutan “perkadaran yang munasabah” dalam Fasal 2, Perkara 153.
Walaupun pada tahun 1971 jumlah pelajar Melayu amat sedikit sekali di universiti, kerajaan Tun Abdul Razak masih menggunakan kaedah yang munasabah dalam membantu mereka yang datang dari keluarga yang kurang berkemampuan sahaja, kerana sekiranya pelajar Melayu yang kaya juga senang-senang merima bantuan dan biasiswa dari kerajaan, itu bukanlah sesuatu yang adil.
Ada juga pejuang-pejuang “Hak Melayu” ini berpendapat Yang Di-Pertuan Agong berkuasa mutlak dalam hal ini dan baginda Tuanku boleh buat apa sahaja yang difikirkan sesuai. Pendapat ini juga janggal kerana tidak berasas. Kuasa Yang Dipertuan Agong adalah terhad berdasarkan prinsip “Raja Berperlembagaan” dan juga merujuk kepada kekangan kepada kuasanya dalam Perkara 40(1A).
2. Hak dan Warisan Melayu
Ada juga warga akademik yang berhujah bahawa UiTM itu hanyalah untuk Bumiputera kerana bagi mereka ia termaktub dalam hal-hal mengenai hak dan warisan Melayu yang tidak ditulis dalam mana-mana dokumen. Bagi mereka, hak dan warisan Melayu ini lebih tinggi tarafnya daripada Perlembagaan Persekutuan.
Pendapat ini bukanlah sesuatu yang ganjil kerana dari segi kajian undang-undang, ia tergolong di dalam fenomena “legal pluralism” (pluralisma undang-undang) di mana ada segolongan masyarakat yang tidak meletakkan keutamaan kepada undang-undang yang sedia ada, sebaliknya kepada sumber yang lain, termasuk perihal bangsa.
Akan tetapi, bagi mana-mana golongan masyarakat yang meletakkan keutamaan kepada perihal bangsa, khususnya perihal Bangsa Melayu seperti yang terjadi di sini, mereka juga perlu ikhlas. Selama ini, tidak pernah kedengaran pun mereka membicarakan analisis feudalisme, kolonialisme dan pasca-kolonialisme dalam masyarakat Melayu di negara ini.
Memang benar, penjajahan Inggeris memberikan kesan yang amat buruk kepada orang Melayu sehingga kini, akan tetapi bagaimana pula dengan sistem nilai feudalisme dalam masyarakat Melayu itu sendiri?
Bagaimana pula analisis sejarah ekonomi bangsa terhadap mereka yang bersekongkol dengan pemerintah sama ada penjajah British ataupun pemerintah politik sesudah merdeka?
Terlampau banyak buku ilmiah yang diterbitkan mengenai hal ini, contohnya yang ditulis oleh Allahyarham Prof. Syed Hussein Alattas, Dr Shaharudin Maaruf, Dr Chandra Muzaffar, Prof Dr Jomo K.Sundram, Dr Muhammed Abdul Khalid dan yang terkini, Dr Azhar Ibrahim dari National University of Singapore (NUS).
Jarang hasil kajian para akademik yang sememangnya berkelas dunia ini diceramahkan atau diwacanakan di khalayak ramai. Ramai yang lebih suka meneruskan wacana “Melayu ini telah lama menjadi mangsa”. Namun tiada langsung kedengaran apa-apa penjelasan mengenai orang Melayu yang kaya yang telah membolot, mengambil hak dan menzalimi orang Melayu sendiri dan fenomena ini telah lama direkodkan dalam kajian ilmiah mengenai Melayu.
Yang selalu dilaung-laungkan selama ini hanyalah sentimen “Ini hak kita! Kita wajib pertahankan! Ada dalam Perlembagaan!”.
Mana-mana program sains sosial di universiti yang tersohor di dunia ini akan semestinya membuang keluar mana-mana pelajar yang berpendapat hanya bermain dengan sentimen-sentimen ini sahaja, tanpa perlu analisis yang lebih mendalam.
Apa yang jelas kelihatan adalah perihal bangsa Melayu ini telah dijadikan modal untuk kepentingan politik dan peribadi sendiri. Tidak pasti berapa ramai yang menggunakan modal ini untuk menjadi pensyarah, memohon biasiswa atau untuk naik pangkat.
Kini tiba masa untuk mereka ini membuat kajian yang ikhlas dan bersih mengenai isu ini tanpa melibatkan apa-apa sentimen.
Mana-mana pensyarah yang membuat kajian ilmiah isu ini di UiTM tidak wajar dicampak ke kampus-kampus cawangan dan disertai dengan label dan kutukan “agen DAP/pembangkang/pengkhianat bangsa”.
Adalah juga tidak wajar membekukan hasil-hasil kajian ini atas alasan “arahan dari orang atas” ataupun “kajian ini tidak selaras dengan agenda perpaduan Melayu”.
Sekiranya memang sudah ada kajian yang dibuat mengenai isu UiTM ini dan telah pun terbit, kita perlu membuat siasatan terperinci apa sudah terjadi dengan hasil kajian dan penulis kajian tersebut. Mengapakah ramai warga akademik sebuah institusi yang bernama “universiti”, tidak mampu memahami isu ini dengan baik.
Zaman berlumba-lumba membuktikan bahawa diri sendiri adalah lebih Melayu dari yang lain, bahawa diri sendirilah seorang pejuang Melayu yang paling hebat, demi membodek mengampu mana-mana warlord ahli politik sudah pun berlalu.
Mana-mana pensyarah, profesor madya, profesor dan profesor emeritus yang selama ini membicarakan isu UiTM ini secara sentimen sahaja dan tanpa analisis sejarah, undang-undang dan ekonomi yang ikhlas, telus dan menyeluruh, perlu bertaubat kerana terlibat dalam jenayah akademik yang membohongi dan membebalkan diri sendiri dan orang lain. – 30 Mei, 2018.
*Mohd Nazim Ganti Shaari ialah pembaca The Malaysian Insight.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen