KETUA Hak Asasi Manusia Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) Zeid Ra’ad Al Hussein memberi amaran tentang kesan pemutusan diplomatik Qatar yang dibimbangi membuatkan orang awam menderita.
“Saya bimbang tentang kemungkinan kesan kepada hak asasi manusia dalam keputusan Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Mesir dan Bahrain untuk memutuskan ikatan diplomatik dan ekonomi dengan Qatar,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
“Sangat jelas kini yang tindakan diambil melampau daripada segi skop dan pelaksanaannya,” tambahnya.
Ulasan itu muncul selepas empat negara itu memutuskan semua ikatan dengan Qatar dalam keadaan tergesa-gesa pada 5 Jun lepas, menuduhnya menyokong “keganasan” tuduhan yang dinafikan keras Qatar.
Zeid memberikan amaran yang langkah itu “berpotensi memburukkan kehidupan ribuan wanita, kanak-kanak dan lelaki hanya kerana mereka ialah rakyat negara terlibat dalam pertikaian itu.”
“Kami menerima laporan yang individu tertentu sudah diarahkan meninggalkan negara yang mereka duduki atau diarahkan pulang oleh kerajaan negara mereka,” katanya.
Dia memberikan amaran yang pasangan berbeza warganegara dan anak mereka, selain mereka yang bekerja atau mempunyai perniagaan yang beroperasi di negara terlibat serta pelajar akan menerima “kesan buruk”.
“Saya juga sangat terkejut mendengar UAE dan Bahrain mengancam akan memenjarakan dan mendenda mereka yang bersimpati dengan Qatar atau menentang tindakan kerajaan mereka sendiri,” katanya.
Jelasnya lagi, tindakan ini “ialah pencabulan nyata hak kebebasan untuk meluahkan pandangan dan bersuara.”
Zeid mendesak semua negara terlibat supaya segera menyelesaikan pertikaian mereka melalui dialog dan “mengelak daripada melakukan tindakan yang boleh memberi kesan kepada kesejahteraan, kesihatan, pekerjaan dan maruah penduduk mereka.”– 14 Jun, 2017.
Komen