Polis ambil keterangan Najib hari ini


Muzliza Mustafa

Kediaman peribadi bekas perdana menteri Najib Razak di Jalan Langgak Duta menjadi perhatian selepas beeberapa serbuan dijalankan pihak berkuasa berhubung siasatan 1MDB.– Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Mei, 2018.

PASUKAN penyiasat daripada ibu pejabat polis Dang Wangi sekali lagi melawat kediaman peribadi bekas perdana menteri Najib Razak di Jalan Langgak Duta hari ini.

Ia bagi merakamkan kenyataan Najib berikutan aduan yang dibuat terhadap polis minggu lalu berhubung rampasan barangan anaknya di apartmen mewah Pavilion Residences.

Pasukan itu tiba kira-kira jam 11.30 pagi dan meluangkan masa selama satu jam setengah untuk merakam kenyataan Najib. 

Kenyataan itu dirakamkan berikutan aduan Najib berkenaan salah laku polis yang menjalankan serbuan di kediaman anak perempuan dan anak lelakinya. 

Difahamkan tujuan kenyataan itu diambil bagi menyiasat sama ada polis melanggar prosedur operas standard dalam menjalankan kerja itu. 

Kenyataan itu diambil bagi tujuan siasatan dalaman. 

“Fail ini akan diajukan ke ibu pejabat polis kontinjen dan sekiranya pegawai atasan merasakan Polis Persekutuan perlu ambil alih perkara ini, maka kertas ini akan dihantar ke Bukit Aman,” kata sumber. 

Najib membuat laporan di balai polis Sentul berhubung pengeledahan yang dijalankan polis di tiga unit apartmen di ibu negara, Dua daripada didiami anak lelaki Najib, Ashman dan anak perempuannya Nooryana Najwa. 

Anak perempuannya itu turut membuat laporan polis dua hari lalu berhubung insiden itu. 

Pada Isnin, polis melawat Najib dan merakam kenyataan Nooryana berhubung perkara yang sama. 

Najib kini sedang disiasat oleh polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia berhubung skandal 1Malaysia Development Berhad dan SRC International, yang merupakan bekas anak syarikatnya selepas Barisan Nasional mengalami kekalahan teruk selepas 61 tahun berkuasa kepada Pakatan Harapan yang dipimpin oleh Dr Mahathir Mohamad. – 30 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen