HAMPIR 100 migran menuju ke Libya, termasuk wanita diselamatkan di Gurun Sahara Niger selepas ditinggalkan penyeludup mereka, kata sumber keselamatan kepada AFP.
Migran itu dipercayai dalam perjalanan menuju ke Eropah dan ditemui pasukan pegawal tentera beberapa hari lalu.
“Migran itu disiksa penyeludup mereka, sebelum ditinggalkan tanpa makanan dan air,” lapor akhbar dalam talian Air Info yang memetik sumber keselamatan.
Migran itu diselamatkan berhampiran dengan bandar Achegour, kata akhbar itu lagi, bandar itu ialah titik transit untuk pendatang yang mahu mencari pekerjaan di Libya atau cuba menyeberangi laut untuk ke Eropah.
Dua minggu lalu sekurang-kurangnya 44 migran yang menuju ke Libya termasuk wanita dan kanak-kanak mati kehausan di Gurun Sahara selepas kenderaan yang membawa mereka rosak di gurun panas itu.
Suhu di Agadez kini sekitar 40 darjah selsius tetapi boleh mencecah 50 darjah selsius.
Tahun lepas, Organisasi Migrasi Antarabangsa (IOM) mencatatkan 335,000 migran menuju keluar dari Niger.
Ramai yang terkorban ketika cuba melintasi gurun itu kerana bersesak dalam trak yang selalunya kekurangan bekalan air.
Bulan lepas Jerman dan Itali mendesak misi Kesatuan Eropah untuk diletakkan di sempadan antara Libya dan Niger bagi mengurangkan pencerobohan migran.
Pertengahan April tahun ini, Itali mendaftarkan hampir 42,500 migran yang datang melalui laut, 97 peratus mereka berasal dari Libya.
Untuk menentang penyelupan manusia, kerajaan Niger pada 2015 meluluskan undang-undang mengharamkan penyeludupan haram pendatang dan mereka yang didapati bersalah boleh dijatuhkan hukuman sehingga 30 tahun penjara. – AFP, 14 Jun, 2017.
Komen