Permata pindah ke Kementerian Pendidikan


Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad hari ini mengumumkan Program Permata Negara dipindahkan dari Jabatan Perdana Menteri ke Kementerian Pendidikan. – Gambar Facebook, 30 Mei, 2018.

PROGRAM Permata Negara akan dipindahkan ke Kementerian Pendidikan daripada kendalian asalnya di bawah Jabatan Perdana Menteri, umum Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Jemaah Menteri di Putrajaya hari ini.

“Permata akan dipindahkan dari JPM ke Kementerian Pendidikan,” kata Dr Mahathir pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan berkenaan.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada hari pertama bertugas pada 22 Mei lepas berkata program berkenaan baik untuk pembangunan kanak-kanak dan ia akan diteruskan oleh kerajaan Pakatan Harapan.

Beliau yang juga menteri wanita dan pembangunan keluarga, bagaimanapun menjelaskan program ilham Rosmah Mansor, isteri bekas perdana menteri Najib Razak itu, perlu dikaji dan diaudit terlebih dulu dari pelbagai aspek.

Permata Negara yang dimulakan pada 2007 adalah sebuah program asuhan dan pendidikan awal bagi kanak-kanak bermula umur empat tahun yang berpotensi untuk digilap bakat dan kepintarannya, dengan fokus kepada mereka yang berpendapatan rendah atau di pinggir dan di luar bandar.

Dengan tema “Setiap Anak Permata Negara”, program ini dibangunkan dengan pendekatan pendidikan yang menyeronokkan dan memberi fokus kepada bidang kecenderungan kanak-kanak terlibat.

Pelaksanaan program itu bagaimanapun mendapat kritikan pelbagai pihak terutamanya pimpinan Pakatan Harapan dan PAS kerana peruntukan terlalu besar yang diberikan oleh kerajaan dari tahun ke tahun. – 30 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen