Putrajaya batal projek MRT3


Projek jajaran MRT3 yang akan menghubungkan MRT 1 dan MRT 2 tidak akan diteruskan kerana faktor kos, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Mei, 2018.

DR Mahathir Mohamad hari ini mengumumkan projek pembinaan MRT fasa tiga (MRT3) dihentikan, beberapa hari selepas pengumuman pembatalan projek stesen Kereta Api Laju Kuala Lumpur-Singapura (HSR).

Perdana menteri berkata projek jajaran bulatan yang akan menghubungkan MRT1 dan MRT2 itu tidak akan diteruskan kerana faktor kos.

“Kabinet bersetuju HSR dibatalkan tertakluk kepada perbincangan dengan Singapura kerana ia membabitkan kesan kewangan yang besar. Bagi sebab yang sama, MRT3 juga tidak akan diteruskan,” katanya pada sidang akhbar hari ini.

MRT3 yang merupakan sebahagian daripada fasa ketiga dan terakhir bagi Klang Valley Mass Rapid Transit Project kini berada dalam peringkat perancangan dan pembangunan.

Kerajaan Barisan Nasional mengumumkan kelulusan projek MRT3 pada 30 Oktober 2017.

Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) telah membuat pelbagai kerja-kerja penyediaan pada laluan sepanjang 40km yang akan mula beroperasi pada 2025.

Pengumuman mengenai tender dan pelbagai taklimat bagi skop kerja yang diperlukan bagi laluan itu telahpun berjalan sejak ia diluluskan. – 30 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen