Dengan harapan baru di Malaysia, perantau rindu balik kampung


Julia Yeow

Pakatan Harapan berjaya menumbangkan kerajaan Barisan Nasional yang memerintah sejak enam dekad lalu menerusi suara rakyat dalam PRU14. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Jun, 2018.

DUA hari selepas PRU14, Shamini Raja menempah tiket penerbangan dari Australia balik ke Pulau Pinang.

“Saya tidak berhasrat untuk balik sebelum tahun depan tetapi selepas detik bersejarah ini, saya tidak sabar hendak jumpa dengan keluarga dan kawan-kawan, saja… untuk bersama-sama rakan senegara yang lain,” kata perunding hartanah berusia 56 tahun itu, yang sudah lebih 20 tahun menetap di Perth.

“Saya tidak sabar hendak balik kampung, untuk merayakannya.”

Sorak sorai yang bergema di serata negara selepas tumbangnya kerajaan Barisan Nasional yang memerintah enam dekad turut dirasakan tempiasnya oleh rakyat Malaysia di luar negara yang mengikuti berita itu dengan rasa kagum dan bangga.

Bagi kebanyakan rakyat Malaysia di luar negara seperti Shamini, keputusan PRU14 menyuntik rasa megah dan kerinduan untuk pulang walaupun hanya sekejap.

Tetapi bagi sesetengah yang lain, keinginan untuk jadi bahagian daripada naratif baru Malaysia itu bukan hanya bercuti balik kampung.

Alden Yap selama ini secara sedar “duduk jauh tetapi sentiasa mengikuti dengan dekat” tanah air ini, walaupun sudah 12 tahun merantau, mula-mula ke Jepun dan kemudian United Kingdom dan San Francisco, Amerika Syarikat.

Pengurus projek itu berkata, biarpun dapat pengalaman dan pendedahan daripada bekerja di luar negara, hatinya selalu meronta-ronta mahu pulang ke tanah air.

Pernah dua kali beliau betul-betul menimbangkannya – pertama, untuk menyertai sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan kali kedua, selepas ditawarkan kerja oleh sebuah syarikat swasta.

“Tak payah cakap, saya tidak balik. Bukannya cuaca, budaya atau gaji yang menahan saya,” kata Yap, 40, kepada The Malaysian Insight.

“Rasa seronok untuk balik kampung itu selalu mati dengan berita-berita buruk di tanah air, lepas satu, satu – rasuah, diskriminasi, isu keselamatan, dan rasuah lagi. Selalunya saya rasa ‘ini bukan masanya’ untuk balik,” katanya, menceritakan pengalaman membatalkan rancangan untuk kembali ke Malaysia.

“Jadi saya duduk jauh tetapi sentiasa mengikuti dengan dekat.”

Tetapi menurut Yap, keputusan PRU14 meninggalkan kesan “besar” padanya, dan menyalakan semula keinginan untuk pulang dan menabur bakti kepada negara.

Kemenangan Pakatan Harapan memberi semangat kepada golongan profesional yang bekerja di negara asing untuk kembali ke tanah air dan bersama-sama membangunkan negara. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Jun, 2018.

“PRU14 ini cuma permulaan. Ada sebuah kerajaan baru bukan bermakna kerja sudah habis. Negara ini perlukan banyak pembaikan dan masih ada banyak kerja yang mesti dilakukan,” kata Yap, yang kini menetap di San Francisco.

“Malaysia yang baru ini tergantung pada kita. Saya mahu menyumbang untuknya.”

Walaupun tanggungjawab terhadap kerja menghalangnya daripada melakukan tindakan segera, beliau berkata akan menyemak Returning Expert Programme (REP) oleh Telentcorp untuk memastikan maklumat mengenai peluang yang ada.

REP adalah program untuk rakyat Malaysia berkelayakan yang tinggal dan bekerja di luar negara sebagai profesional dalam industri terpilih. Program ini membantu menempatkan rakyat Malaysia dengan pekerjaan yang sesuai, dan menawarkan pakej insentif, seperti pengecualian cukai dan laluan segera bagi pemastautin tetap untuk pasangan warga asing.

Sepanjang tujuh tahun penubuhannya, REP hanya menarik 3,600 rakyat Malaysia untuk kembali, jumlah yang bekas CEO agensi itu, Johan Mahmood Merican, akui ibarat “setitis air di lautan”.

Bagaimanapun, Fiona Wan, yang bekerja di UK sejak 10 tahun lalu, berkata beliau percaya para profesional yang berpindah kembali mungkin tidak ramai pada peringkat awal, tetapi jika kerajaan baru menunjukkan konsistensi, akan ada “gelombang besar daripada profesional yang kembali “dalam tempoh lima tahun akan datang.

Beliau berkata akan menghubungi rangkaian hubungan profesionalnya bagi peluang untuk pulang ke tanah air, sambil menambah beliau “gembira” dengan keputusan PRU14.

“Saya menjerit kegembiraan dan terpaksa menjelaskan kepada rakan-rakan saya di Britain mengapa saya begitu gembira pada hari itu,” kata graduan ekonomi, yang terlibat dalam beberapa program pelaburan modal penerbangan di lapangan terbang Gatwick dan Heathrow.

Ibu kepada dua anak itu berkata, beliau sentiasa mempertimbangkan idea untuk pulang ke tanah air dan bekerja, tetapi ia terbantut selepas permohonan untuk mendapatkan kewarganegaraan anak-anaknya ditolak.

Beliau berkata berita di tanah air sentiasa “menakutkan dan hampir mengarut”, membuatkannya berfikir dua kali untuk kembali - sekurang-kurangnya, sehinggalah kekalahan BN kalah pada PRU14.

“Prospek untuk kembali pasti lebih cerah kerana negara ini terbuka kepada sebarang kemungkinan - yang baik - hasil daripada keputusan PRU14.” – 2 Jun, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen