SEORANG lelaki bersenjata yang tersenarai dalam pemerhatian polis berkaitan ekstremis agama melancarkan serangan keganasan di Belgium, menembak mati dua anggota polis wanita dengan senjata api mereka sendiri sebelum membunuh pemerhati di tempat kejadian.
Pertumpahan darah itu berlaku di kawasan perindustrian di timur bandar Liege sekitar jam 10.30 pagi Selasa apabila penyerang yang bersenjatakan pisau menikam anggoa polis terbabit sebelum menggunakan senjata api mereka untuk membunuh, kata pendakwaraya.
Pendakwaraya persekutuan berkata mereka melancarkan siasatan keganasan terhadap insiden itu.
Rakaman amatur yang disiar oleh stesen televisyen Belgium menunjukkan lelaki bersenjata itu melaungkan “Allahuakbar” ketika berjalan kaki ketika serangan itu.
Dalam satu lagi rakaman video, bunyi tembakan jelas kedengaran selepas lelaki terbabit dilihat terbaring.
“Bersenjatakan pisau, suspek mengikut dan menyerang dua anggota polis dan menggunakan senjata api mereka sendiri untuk membunuh mereka,” kata pendakwaraya Phillipe Dulieu pada sidang media.
“Dia meneruskan dengan berjalan kaki, menyerang kenderaan yang diparkir dengan melepaskan tembakan terhadap seorang lelaki berusia 22 tahun yang berada di tempat duduk penumpang. Lelaki terbabit terbunuh.
“Kemudian suspek meneruskan lagi dan memasuki sekolah Leonie de Waha. Dia mengambil pekerja wanita di sekolah berkenaan sebagai tebusan. Polis mula campur tangan, dia keluar dan melepaskan tembakan ke arah polis menyebabkan beberapa anggota cedera sebelum dibunuh.”
Belgium kini masih lagi dalam keadaan berjaga-jaga selepas serangan itu termasuk pengebom bunuh diri di Brussels pada 2016 yang didakwa didalangi kumpulan Islamic State.
Sumber siasatan terdekat memberitahu AFP, lelaki bersenjata itu berada dalam senarai pemerhatian polis kerana kaitannya dengan radikal Islam. – AFP, 30 Mei, 2018.
Komen