Bekas menteri akui BN silap, percaya rakyat terhutang budi selamanya


Muzliza Mustafa Nabihah Hamid

BARISAN Nasional (BN) melangkah masuk ke gelanggang PRU14 dengan andaian salah: Bahawa rakyat Malaysia akan berasa terhutang budi selama-lamanya dan akan mengembalikan kuasa kepada parti itu, kata Johari Abdul Ghani.

Tetapi rakyat berubah dan apa yang sepatutnya berlaku pada masa tertentu itu tidak berlaku pada 9 Mei, kata bekas menteri kewangan kedua itu.

Beliau juga berkata cara Dr Mahathir Mohamad berkesan dalam menjadikan integriti dan rasuah sebagai isu utama untuk membuatkan pengundi berfikir.

Johari berkata BN tersilap apabila percaya dengan segala apa yang diucapkan dan dilakukan selama ini – bahawa rakyat Malaysia akan masih ingat dasar BN membolehkan ekonomi Malaysia tumbuh dari RM4 bilion kepada RM1.3 trilion.

Sebaliknya, pengundi tertumpu kepada isu kos sara hidup, cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dan beberapa isu lain yang dibangkitkan oleh Dr Mahathir dan Pakatan Harapan (PH).

Beliau berkata Dr Mahathir membangkitkan isu rasuah dan integriti dengan efektif sewaktu berkempen, kata bekas ahli Parlimen Titiwangsa berkenaan.

“Jadi tema yang dibawa ini sebenarnya telah menarik perhatian terutamanya golongan-golongan muda,” katanya.

Johari kalah di kerusi Parlimen Titiwangsa dengan majoriti lebih 4,000 undi kepada Rina Harun, calon muda daripada Bersatu.

Komposisi kaum di kawasan itu ialah 72% Melayu diikuti Cina 17%, Indian 9% dan lain-lain 2%. Terdapat 61,598 pengundi berdaftar di kawasan itu.

BN/Umno bukan saja hilang Putrajaya tetapi hilang kawalan di beberapa negeri termasuk Johor dan Melaka. Jadi apa langkah seterusnya untuk tokoh korporat yang menjadi ahli politik itu?

Sama seperti ahli politik Umno lain, bekas menteri Johari Abdul Ghani berkata beliau membangkitkan banyak isu menjejaskan Malaysia dan Umno pada mesyuarat Majlis Tertinggi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Mei, 2018.

Sebagai permulaan, beliau mengintai tiga jawatan naib presiden dalam Umno, percaya ia akan memberikan platform untuk beliau mula membaiki parti yang “rosak” itu.

Sama seperti ahli politik Umno yang lain, Johari berkata beliau membangkitkan banyak isu menjejaskan Malaysia dan Umno pada mesyuarat Majlis Tertinggi.

Ketika ditanya adakah beliau sebagai menteri kewangan kedua pernah membangkitkan isu skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Johari hanya berkata: “Biar kerajaan sekarang yang uruskan.”

Johari berkata sekarang masanya untuk ahli Umno merenung kembali apa yang mereka lakukan untuk parti.

“Saya akan pertahankan jawatan ketua Bahagian Umno Titiwangsa dan di peringkat nasional, saya sedang berfikir untuk bertanding jawatan naib presiden,” katanya.

Apa perubahan yang ingin dilihat dalam parti sekarang?

“Amalan menyekat perdebatan dalam parti atas nama kesepakatan, perlu dihentikan.

“Kita patut menggalakkan debat dan pemilihan pemimpin parti di setiap peringkat,” katanya. – 30 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen