Najib tak berhak dapat layanan istimewa kerana disiasat polis, kata PM


Muzliza Mustafa

Bekas perdana menteri Najib Razak kini disiasat oleh polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

NAJIB Razak tidak berhak menikmati layanan istimewa sebagai bekas perdana menteri kerana beliau disiasat polis, kata perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

“Beliau tidak mewakili bekas perdana menteri. Tetapi jika beliau didapati tidak bersalah, beliau akan dapat layanan sama seperti (bekas) perdana menteri lain,” kata Dr Mahathir.

Beliau mengulas mengenai tindakan kerajaan menarik balik keistimewaan ke atas Najib.

Ahli Parlimen Pekan itu petang ini mengucapkan selamat berpisah kepada pegawai pengiring dan pasukan tindakan khas polis yang menyediakan kawalan 24 jam kepadanya selama ini.

“Sejak beberapa minggu ini, kesemua pegawai keselamatan, polis pengiring serta pegawai bantuan yang ditugaskan kepada saya sudah ditarik balik oleh kerajaan baharu kecuali seorang pegawai ADC (Aide De Camp),” kata Najib di Facebook beliau.

Tinjauan The Malaysian Insight di Langgak Duta melihat Najib dan rombongan beberapa kenderaan meninggalkan kediamannya pada jam 6.45 petang. 

Bagaimanapun hanya kereta Toyota Vellfire putihnya dilihat kembali semula pada jam 7.48 malam sendirian. 

Najib berkata beliau dan keluarganya tidak akan melupakan persahabatan, kesetiaan dan jasa yang dikongsi bersama mereka sepanjang sembilan tahun lalu.

Beliau berkata ada di antara pegawainya yang telah berkhidmat sejak beliau mula menjawat jawatan timbalan perdana menteri.

“Tak dapat dinafikan, mereka berselubung emosi dan ada yang menitiskan air mata ketika kami berlafaz kata perpisahan.

“Saya juga mohon kerajaan baharu supaya sentiasa menjaga kebajikan mereka kerana mereka adalah anggota dan pegawai berdedikasi yang akan berkhidmat kepada kerajaan hari ini dengan penuh kesetiaan,” tambah Najib.

Pada 16 Mei, polis menggeledah kediaman Najib dan beberapa premis lainyang dikaitkan dengannya.

Najib kini disekat ke luar negara dan disiasat mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2011 (Amla). – 29 Mei, 2018. – 29 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen