PM minta Rahman tunjuk bukti Malaysia rugi RM209 bilion tanpa HSR


Muzliza Mustafa

Perdana menteri Dr Mahathir Mohamad meminta Abdul Rahman Rahman tunjukkan bukti dakwaannya.– Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Mei, 2018.

DR Mahathir Mohamad hari ini meminta bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri Abdul Rahman Dahlan memberi bukti Malaysia akan hilang sebanyak RM209 bilion kerana menghentikan projek stesen Kereta Api Laju Kuala Lumpur-Singapura (HSR).

“Tunjuk kami bukti. Jangan cakap saja. Kerana apabila kita kata kita ada hutang RM1 trilion, kami ada surat, kami ada dokumen untuk buktikannya,” kata perdana menteri merujuk kepada kenyataan beliau mengenai hutang negara minggu lalu. 

Abdul Rahman, yang merupakan menteri bertanggungjawab dalam hal ekonomi pada pentadbiran Najib berkata, tindakan kerajaan hari ini menghentikan HSR satu kesilapan besar oleh kerajaan yang berpandangan singkat. 

Katanya projek berkenaan berpotensi untuk merangsang pembangunan ekonomi di sepanjang koridor landasan, dan pembangunan di sekitar kawasan stesen, yang lebih dikenali sebagai pembangunan berasaskan transit.

“Hasil HSR akan menjadi tidak kurang dari pemacu ekonomi Taiwan HSR, antara Taipei dan Kaoshiung, dan Tokaido Shinkansen, antara Tokyo dan Osaka.

Malah katanya, kenyataan Dr Mahathir Mohamad bahawa HSR tidak akan membawa keutungan daripada operasinya, kerana potensi pulangan daripada penangkapan nilai tanah hanya akan membayar kos projek itu, adalah “terlalu mudah”.

Dr Mahathir ketika mengumumkan keputusan untuk menghentikan projek itu semalam, berkata Malaysia perlu membayar pampasan RM500 juta kepada Singapura kerana membatalkan projek itu.

Landasan sepanjang 350 kilometer (220 batu), dengan keretapi yang bergerak pada kelajuan tertinggi lebih daripada 300 kilometer sejam, disasar untuk mula beroperasi pada tahun 2026.

Ia akan mengurangkan perjalanan darat antara Kuala Lumpur dan Singapura hingga 90 minit, berbanding masa lima jam sekarang.– 29 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen