Hindraf harus waspada beri kenyataan 


SAYA mengambil maklum tentang permintaan Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf) yang menyatakan hasrat supaya kouta untuk kemasukan mahasiswa ke Universiti Teknologi MARA (UiTM) dibuka kepada semua kaum, khususnya kaum India.

Tindakan sebegini mampu menyebabkan kestabilan negara berada dalam keadaan yang tidak menentu kerana ia akan menambahkan keresahan golongan Bumiputera terhadap keistimewaan mereka selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.

UiTM adalah institusi yang amat sinonim dengan Bumiputera khususnya orang Melayu dan ditubuhkan berdasarkan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan yang juga terkandung di dalam Seksyen 1A Akta Universiti Teknologi MARA (Akta 173).

Sekiranya kerajaan membuka kuota ini seperti yang diminta, langkah itu hanya terburu-buru kerana matlamat asal penubuhan UiTM adalah untuk memberi bantuan pendidikan dan menambah jumlah professional daripada kalangan golongan Bumiputera.

Cadangan saya, kajian yang rapi dan telus harus dilakukan untuk jangka masa yang panjang serta mengambil kira pelbagai faktor khususnya faktor kesediaan institusi ini untuk menerima kemasukan pelajar bukan Bumiputera dan adakah matlamat asal penubuhan UiTM sudah benar-benar dicapai?

Kita tidak mahu rumah siap, pahat berbunyi.

Fokus utama kini seharusnya adalah untuk mengembalikan semula kewibawaan Institusi Pengajian Tinggi dengan melaksanakan segala manifesto Pakatan Harapan supaya dapat menjadikan pendidikan varsiti di Malaysia kepada yang lebih baik, seperti pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) dan mengembalikan autonomi kepada persatuan pelajar.

Harapan saya agar tiada pihak yang mengulangi tindakan mencipta polemik sebegini yang hanya akan memberi bahaya kepada kestabilan negara.

Memupuk toleransi dan perpaduan melalui pendidikan sejak  peringkat sekolah harus diberi keutamaan sebelum dasar keterbukaan sebegini hendak dilaksanakan kerana pemuafakatan antara semua kaum dan agama di negara ini adalah acuan yang terbaik untuk menjadikan Malaysia yang lebih cemerlang di masa hadapan.– 29 Mei, 2018.

* Danish Zainudin merupakan Mahasiswa UiTM dan Pengarah Biro Varsiti dan Pembangunan Pemuda Pakatan Harapan Melaka.

* Ini adalah pendapat penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen