Dihalau dari Ghouta, pelarian Syria berlindung di Afrin


Kira-kira 35,000 penduduk Ghouta berlindung di Afrin selepas mereka melarikan diri. – Gambar fail EPA, 29 Mei, 2018.

TERPAKSA berpindah dari rumahnya di Ghouta Timur Syria, Umaima al-Sheikh dan keluarganya berlindung di sebuah rumah tinggal di Afrin.

Pekan Kurdish itu dikosongkan beberapa minggu lalu, selepas serangan yang diketuai Turki memaksa puluhan ribu penduduknya melarikan diri.

“Tiada siapa yang mahu tinggal di rumah yang bukan milik mereka, atau menggunakan harta benda orang lain,” kata Umaima.

Selepas tinggal sebentar di wilayah pemberontak di tempat lain di utara Syria, wanita berusia 25 tahun itu berpindah ke Afrin sebulan lalu dengan suaminya Firas serta dua anak kecil mereka.

“Kami semua mahu berada di rumah dan bandar kami sendiri, tetapi keadaan memaksa kami menetap di rumah yang bukan milik kami,” kata Umaima kepada AFP.

“Rumah yang kami tinggalkan kini didiami orang lain. Perkara sama berlaku kepada semua di Syria, bukan hanya kami,” katanya.

Sejak perang meletus pada 2011, separuh penduduk Syria terpaksa berpindah, termasuk lebih 5 juta di luar negara dan 6 juta lagi di dalam negara.

Antaranya adalah pemberontak dan orang awam yang dipindahkan secara beramai-ramai dari satu kawasan pembangkang yang dibom ke tempat lain di bawah perjanjian “perdamaian”.

Presiden Syria Bashar al-Assad menggunakan perjanjian itu untuk merebut kembali wilayah, menyebabkan beliau dituduh cuba merombak demografi negara.

Ia menyaksikan pemindahan ribuan penduduk ke bahagian utara yang dipimpin pemberontak, dengan sebahagian besar pergi ke Afrin.

Seramai 35,000 orang berlindung di wilayah Afrin, menurut Badan Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria.

Ada yang tinggal di kem pelarian di kawasan luar bandar, tetapi ramai berpindah ke rumah kosong dan hancur di bandar itu.

Mehdi Haymur dan anaknya meninggalkan Ghouta dan kehilangan rumah, tanah, dan pekerjaan. Beliau mengakui dipaksa ke sini.

Pemilik blok terbengkalai di mana dia tinggal sekarang membenarkan mereka tinggal sementara, kata Haymur kepada AFP.

Ahmad al-Buri, 19, berpindah ke Afrin dari pinggir Douma kota terbesar Ghouta.

“Ini adalah zon Turki, dilindungi daripada pengeboman rejim Syria, sebab itulah saya datang ke sini,” kata Buri.

Pemberontak juga membantu keluarganya mencari rumah kosong di daerah Mahmudiyah Afrin, dan Buri mendaftar dalam polis yang disokong Turki.

“Jika pemilik rumah ini kembali dan kami perlu pergi, saya tidak tahu apa yang akan kami lakukan, kami perlu mencari rumah lain atau pergi ke kem,” katanya.

Dianggarkan 10,000 mendiami rumah di situ, menurut pejabat koordinasi kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (OCHA).

“Walaupun ada membayar sewa, laporan orang yang terpaksa tinggal di rumah kosong tanpa kebenaran pemiliknya terus diterima,” katanya.

Kira-kira 135,000 penduduk asal Afrin tinggal di rantau ini ketika pertempuran berterusan, lebih daripada satu pertiga di bandar itu sendiri, menurut OCHA.

Othman Khalil, seorang pekerja logam berusia 57 tahun, enggan meninggalkan rumahnya di Villa Street semasa peperangan.

“Terdapat keluarga dari Ghouta yang datang ke kejiranan kami. Kami bercakap antara satu sama lain,” katanya kepada AFP.

“Mereka boleh masuk ke Afrin tetapi orang yang berasal dari sini tidak boleh masuk,” kata Khalil, yang rakannya melarikan diri dari bandar semasa pertempuran tetapi tidak dapat kembali.

OCHA menyuarakan kebimbangan terhadap “perpindahan berlarutan” dari Afrin ketika operasi keselamatan diteruskan.

Parti Kurdish di Syria, Kesatuan Demokratik Rakyat (PYD), dan pihak pemantau menuduh Ankara cuba mengubah suai etnik Afrin dengan menempatkan semula keluarga Arab di rumah Kurdish.

“Ada orang asing yang tinggal di rumah anak saudara saya yang tidak mahu berpindah,” kata Mahmoud Hassan, 58, seorang petani di Afrin.

“Orang dari Ghouta baik. Kami boleh bercakap dengan mereka dan ada perdamaian di antara kita,” katanya kepada AFP.

“Tetapi ini bukan rumah anda, anda datang dan tinggal di dalamnya, dan jika pemiliknya kembali, anda perlu keluar sebelum dia mengadu.”

Pada Sabtu, ratusan penduduk Kurdish Syria menunjuk perasaan di bandar timur laut Qamishli sebagai tanda protes kehadiran ketenteraan Turki di Afrin. – AFP, 29 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen