PEMANTAU komunikasi Rusia berkata pada Isnin ia meminta bantuan Apple untuk menyekat aplikasi mesej popular, Telegram yang diharamkan di negara ini kerana enggan memberikan akses kepada perbualan peribadi.
Roskomnadzor berkata ia meminta agar Apple menghalang notifikasi kepada pengguna Telegram di Rusia, yang bermaksud pengguna tidak akan menerima makluman bagi mesej baru yang menjadikan ia kurang berguna, serta tidak lagi boleh dimuat turun di negara ini.
“Untuk mengelakkan tindakan yang mungkin dilakukan oleh Roskomnadzor kerana pelanggaran fungsi perkhidmatan Apple Inc yang disebutkan, kami meminta anda memberitahu kami secepat mungkin mengenai tindakan selanjutnya syarikat anda untuk menyelesaikan isu yang menjadi masalah,” katanya.
Pengarah Roskomnadzor, Alexander Zharov kemudian memberitahu agensi berita Rusia Interfax yang Apple mempunyai sebulan untuk membalas dan enggan membuat spekulasi mengenai tindakan yang mungkin diambil terhadap firma AS itu jika ia gagal mematuhinya.
Bulan lalu, mahkamah Moscow mengharamkan aplikasi popular itu berikutan perbalahan sekian lama antara pihak berkuasa dan Telegram, yang terkenal dengan tahap keselamatan komunikasinya, ketika Moscow berusaha untuk meningkatkan pengawasan aktiviti Internet.
Aplikasi ini direka oleh seorang pengaturcara Rusia, Pavel Durov, yang sekian lama mengatakan beliau akan menolak sebarang percubaan oleh perkhidmatan keselamatan negara untuk mendapatkan akses pintu belakang bagi aplikasinya.
Aplikasi percuma yang membolehkan pengguna saling menghantar mesej, pelekat, gambar dan video dalam kumpulan sehingga 5,000 orang, menarik lebih 200 juta pengguna sejak pelancarannya oleh Durov dan abangnya Nikolai pada 2013.
Susulan keputusan mahkamah, Roskomnadzor beralih bertindak menghalang fungsi Telegram, tetapi mengakui ia hanya berjaya mengganggu operasinya sebanyak 15 hingga 30%.
Ia juga mengganggu perkhidmatan lain, dengan Zharov minggu lalu menuduh Telegram menggunakan perkhidmatan dalam talian lain sebagai “perisai manusia” dengan menggunakan pelayan mereka.
Zharov juga dipetik oleh agensi berita Rusia berkata, larangan terhadap Telegram adalah wajar kerana ia digunakan dalam perancangan semua serangan pengganas terbaru di seluruh dunia.
Roskomnadzor memberitahu agensi berita TASS pada Isnin yang perbincangan masih dijalankan dengan Google mengenai pelaksanaan larangan itu. – AFP, 29 Mei, 2018.
Komen