Apartment 27 tingkat di London terbakar


Api dan asap tebal kelihatan dalam gambar yang diambil penduduk sekitar di kawasan apartment di London. – Gambar AFP, 14 Jun, 2017.

KEBAKARAN besar melibatkan blok pangsapuri 27 tingkat berlaku di barat London awal hari ini, memerangkap penghuninya dengan 200 anggota bomba cuba menyelamatkan mereka.

Saksi boleh mendengar jeritan dari tingkat atas semasa api marak dan seorang penghuni yang terdesak dilihat melambai kain putih.

Polis dan bomba cuba memindahkan blok konkrit dan berkata “beberapa orang sedang dirawat kerana pelbagai kecederaan”, termasuk sekurang-kurangnya dua kerana terhidu asap.

Keluarga yang panik di tempat kejadian cuba memanggil insan tersayang yang masih terperangkap dan diarahkan polis ke restoran berdekatan di mana beberapa mangsa yang cedera dirawat.

Bomba berkata 40 jentera dan 200 anggota dikerahkan bagi mengawal kebakaran di Menara Grenfell, yang mempunyai 120 unit.

Pihak ambulans memaklumkan menghantar lebih 20 anggota ke tempat kejadian.

“Api berpunca dari tingkat dua hingga ke atas bangunan 27 tingkat,” kata bomba di Twitter.

Anggota bomba yang berada di tempat kejadian berkata, mereka berjaya memindahkan penduduk dari tingkat 11 ke atas.

Polis juga mengeluarkan penghuni di bangunan berdekatan kerana bimbang runtuhan serpihan.

“Anggota bomba memakai alat pernafasan bekerja dalam keadaan yang sangat sukar untuk menangani kebakaran ini,” kata Penolong Pesuruhjaya Bomba London, Dan Daly.

“Ini adalah kejadian yang besar dan sangat serius dan kami menggunakan sumber dan peralatan khas yang banyak,” katanya.

Datuk Bandar London Sadiq Khan menulis tweet: “Insiden besar diisytiharkan berlaku Grenfell Tower”.

Pelakon dan penulis Tim Downie, yang tinggal berhampiran berkata: “Ia sangat dahsyat. Seluruh bangunan terbakar. Ia musnah. Hanya menunggu masa sebelum bangunan ini runtuh…”.

Polis berkata dalam satu kenyataan, mereka dihubungi pada jam 1.16 pagi (8.16 pagi waktu Malaysia) “laporan kebakaran besar di satu blok flat di Lancaster West Estate”.

Blok apartment itu dibina pada 1974.

Penduduk tempatan memberi amaran setahun lalu mengenai risiko kebakaran yang disebabkan sampah dibenarkan untuk dikumpul semasa kerja penambahbaikan.

“Perkara ini berlaku kerana hanya terdapat satu laluan masuk dan keluar ke Menara Grenfell semasa kerja penambahbaikan,” tulis di satu blog Kumpulan Tindakan Greenfell.

“Potensi kebakaran di kawasan laluan komunal tidak sanggup memikirkan bagaimana penghuninya akan terperangkap di dalam bangunan tanpa jalan keluar,” katanya. – AFP, 14 Jun, 2017. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen