Pertubuhan sivil kemuka isu hak asasi pada Majlis Penasihat Kerajaan


Mohd Farhan Darwis

Pertubuhan sivil Platform for Reform hari ini mengadakan pertemuan dengan Majlis Penasihat Kerajaan bagi menyerahkan kertas cadangan mengenai kaedah menambah baik hak asasi manusia dan hubungan antara kaum di negara ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Mei, 2018.

PERTUBUHAN sivil Platform for Reform hari ini mengadakan pertemuan dengan Majlis Penasihat Kerajaan bagi menyerahkan kertas cadangan mengenai kaedah menambah baik hak asasi manusia dan hubungan antara kaum di negara ini.

Pertubuhan berkenaan menyerahkan dokumen yang mengandungi perkara berkaitan penyatuan nasional dan hubungan kaum, kemiskinan dan  ketidaksamarataan, serta rancangan hak asasi manusia di Menara Ilham, Kuala Lumpur, hari ini.

“Pertemuan ini sangat berhasil dan kita membincangkan akta-akta yang berkaitan dengan hubungan harmoni antara kaum,” kata wakil Persatuan Promosi Hak Asasi Manusia (Proham) Denisoon Jayasuria, ketika ditemui pemberita di lobi menara berkenaan sejurus selesai pertemuan tersebut.

Turut serta menyerahkan dokumen tersebut adalah Adli Zakuan dari Pusat Komas; Rozana Isa dari Sister in Islam; Jeffery Phang dari MyPJ dan Friends of Kota Damansara; Eugene Yapp dari Gabungan Bertindak Malaysia; dan Mansor Saat, ahli jawatankuasa hak asasi manusia Majlis Peguam.

“Mereka terbuka dengan cadangan kami dan laporan yang kami serahkan turut mempunyai dokumen sokongan. Perbincangan berlangsung dengan baik namun terpulang kepada jawatankuasa sama ada ingin menerimanya atau tidak.

“Walaupun pembaharuan institusi meliputi sekitar Parlimen dan kehakiman tetapi isu berkaitan seperti kemiskinan, ketidaksamarataan perlu diatasi,” kata Denison lagi.

Sementara itu, Hindraf turut menyerahkan memorandum kepada ajlis berkenaan yang mengandungi 25 cadangan kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad untuk memperbaiki kedudukan ekonomi dan sosial masyarakat India.

Pemimpin Hindraf 2.0 P. Uthayakumar berkata, sejak pemerintahan Umno dan Barisan Nasional (BN) komuniti India seringkali dipinggirkan.

“Antara cadangan Hindraf 2.0 termasuklah meminta 20,000 lot tanah berkeluasan lima ekar setiap satu yang mengandungi lembu seperti Felda dan Felcra untuk masyarakat India,” katanya kepada pemberita.

Hindraf turut menuntut agar Universiti Teknologi MARA dan Kolej Giatmara dibuka kepada semua kaum. – 28 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen