BEKAS anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB), SRC International Sdn Bhd masih lagi membayar faedah daripada hutang bernilai RM4.386 bilion yang dipinjam syarikat itu daripada Kumpulan Wang Amanah Persaraan (KWAP), kata Wan Kamaruzzaman Wan Ahmad.
“Setakat tahun lepas ia masih lagi mengikut jadual. Tahun ini bergantung kepada jadual pembayaran, ianya setiap enam bulan,” katanya yang juga merupakan ketua pegawai eksekutif (CEO) KWAP.
Wan Kamaruzzaman berkata demikian ketika ditemui pemberita di Menara Ilham, Kuala Lumpur selepas mengadakan pertemuan dengan Majlis Penasihat Kerajaan hari ini.
Perbincangan itu katanya menjurus kepada tadbir urus dan pelaburan KWAP.
Beliau turut mengesahkan tiada sebarang perbicangan berkenaan pelaburan RM124.2 juta KWAP dalam Uber dibangkitkan dalam pertemuan tersebut.
SRC International meminjam sejumlah RM4.385 bilion daripada KWAP dengan kadar faedah antara 4.3% dan 5.1% setahun.
Pinjaman itu dipecahkan kepada dua bahagian - pertama diberikan pada 2011 dan diikuti pada 2012 - masing-masing bernilai RM2 bilion dengan tempoh bayaran balik selama 10 tahun. – 28 Mei, 2018.
SRC International masih bayar faedah pinjaman pada KWAP, kata CEO
Komen