MENYENTUH isu bazar Ramadan yang berlaku,saya terbaca kenyataan Exco Johor Jais Sarday dan Ahli Parlimen Muar Razali Ibrahim mengenai isu tersebut.
Saya terpanggil untuk membalas kenyataan mereka ke atas fitnah yang ditaburkan kepada DAP dalam bulan yang mulia ini.
Saya dilahir dan dibesarkan di Batu Pahat. Saya sering menunggu tibanya bulan Ramadan agar dapat melawat bazar untuk menikmati juadah dan kuih muih tradisional yang biasanya tidak dapat dinikmati pada hari biasa.
Saya berada dalam pimpinan jawatankuasa DAP Johor sepanjang empat tahun ini, tidak pernah sama sekali berbangkit sebarang isu memindahkan lokasi bazar Ramadan di mana jua daerah di Johor termasuklah di kawasan Kluang. Pengesahan pun sudah dibuat oleh Gan Ping Sieu yang MCA membuat permohonan tersebut pada 2007.
Semua aktiviti sebelum menyambut perayaan, baik perayaan Hari Raya Adilfitri, Deepavali, Tahun Baru Cina dan lain-lain adalah satu keunikan bagi kita di Malaysia.
Ia juga menjadi satu tarikan antarabangsa kepada pelancong untuk melawat Malaysia seperti dari Singapura misalnya.
Aktiviti sebegini (bazar Ramadan) menjadi lebih signifikan sebagai wadah dan tempat yang sesuai untuk pelbagai kaum dalam menyemai dan meraikan kepelbagaian bangsa dan budaya.
Saya ingin menasihati kedua-dua pemimpin ini agar bertaubat serta insaf dan jangan lagi cuba menabur fitnah dan benih kebencian antara satu sama lain.
Sebagai seorang exco kanan dan timbalan menteri, mereka harus menjadi teladan dalam memupuk perpaduan serta mengecam segala gejala samseng.
Sultan Johor dan Tengku Mahkota Johor sudah banyak kali menasihati serta menegur pihak yang cuba memecahbelahkan rakyat Malaysia khususnya “Bangsa Johor”.
Akhir sekali saya ingin meminta agar Jais dan Razali berhenti menfitnah serta meminta maaf atas segala tuduhan tidak berasas terhadap DAP dan ahli Parlimen Kluang. – 14 Jun, 2017.
* George Poh Eng Guan adalah bendahari DAP Johor.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen