TERPULANG kepada polis untuk menyiasat laporan yang dibuat Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) berhubung dakwaan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) AirAsia Tony Fernandes, kata Abdul Ahmad hari ini.
Pengerusi eksekutif Mavcom itu berkata laporan polis sudah dibuat oleh suruhanjaya berkenaan dan mereka menunggu tindakan lanjut oleh pihak berkuasa.
“Ia sudah jadi kes polis. Tiada lagi perbincangan mengenai perkara itu. Kami serahkan kepada polis,” katanya pada sidang media hari ini.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook melakukan lawatan ke pejabat Mavcom di KL Sentral hari ini.
Loke turut enggan memberi komen berhubung perkara itu.
“Saya tidak bangkitkan isu itu. Saya tidak masuk campur. Mavcom sudah buat laporan polis dan terserah kepada polis,” katanya.
Fernandes sebelum ini mendakwa Mavcom memaksa beliau membatalkan penerbangan menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Mavcom menafikan dakwaan itu dan membuat laporan polis.
AirAsia menegaskan bahawa syarikat penerbangan itu mempunyai bukti terhadap dakwaannya dan akan menyerahkannya kepada pihak berkuasa. – 28 Mei, 2018.
Komen