Kemelut MB Perlis selesai, Adun BN akur pilihan Raja


Kemelut pemilihan Azlan Man sebagai menter besar Perlis selesai dengan persetujuan semua wakil rakyat Barisan Nasional yang "memulaukan" istiadat angkat sumpah jawatan di Istana Arau minggu lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Mei, 2018.

KEMELUT pemilihan Azlan Man sebagai menteri besar Perlis selesai apabila semua wakil rakyat Barisan Nasional yang “memulaukan” istiadat angkat sumpah jawatan di Istana Arau minggu lalu menyatakan setuju dengan pilihan Raja Perlis itu, lapor Utusan Online.

Ahli Dewan Undangan Negeri Santan, Azizan Sulaiman yang mewakili tujuh wakil rakyat BN dipetik berkata, mereka sepakat menjunjung titah tuanku.

Pendirian tujuh Adun BN itu menyusul tindakan dua wakil rakyat BN kelmarin dan semalam, Adun Kayang, Hamizan Hassan dan Adun Beseri, Ruzaini Rais yang mengumumkan perubahan pendirian bersetuju pula dengan pelantikan Azlan sebagai menteri besar.

“Insya-Allah perkara ini (kemelut pelantikan Menteri Besar) akan dapat diselesaikan segera secara harmoni,” katanya, seperti dipetik Utusan Online.

The Malaysian Insight difahamkan semua wakil rakyat BN terlibat akan mengadakan satu sidang media Jumaat ini untuk memohon maaf kepada Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail atas apa yang berlaku.

“Hari Jumaat ini BN Perlis akan akan buat sidang media,  kita nak bagitahu yang kita nak minta ampun kepada Raja Perlis.

“Tapi BN Perlis tetap dengan pendirian dan merayu Raja Perlis bahawa cadangan calon MB dari BN ikut demokrasi. Ia keputusan sebulat suara, dan kita harap demokrasi ini dijunjung,” kata seorang pemimpin BN negeri, yang enggan namanya dipetik. 

Azizan menjelaskan semua wakil BN yang terlibat tiada niat menderhaka kepada Raja Perlis apabila tidak hadir ke istiadat angkat sumpah menteri besar yang diadakan di Istana Arau pada 24 Mei lepas.

Katanya, istiadat itu kebetulan berlangsung serentak dengan “situasi luar jangka” perjumpaan semua wakil rakyat itu dengan pucuk pimpinan Umno pusat di Kuala Lumpur.

“Kami bersepakat berada di ibu negara untuk menghadiri satu perjumpaan parti bersama Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri, Shahidan Kassim dengan (pemangku presiden Umno) Ahmad Zahid Hamidi,” katanya, seperti dipetik Utusan Online.

Azizan juga tidak mahu isu itu dipanjangkan lagi dan memberitahu semua wakil rakyat terlibat akan memohon sembah mengadap Tuanku Syed Sirajuddin dalam masa terdekat untuk menjernihkan hubungan antara eksekutif negeri dan istana.

Semua wakil rakyat berkenaan juga sudah kembali menjalankan tugas di Perlis sejak empat lima hari lalu.

Pada PRU14, BN menang 10 daripada 15 kerusi negeri sementara PKR menang 3 kerusi dan PAS 2 kerusi.

Kemelut bermula apabila  calon menteri besar yang dikemukakan oleh BN negeri tidak mendapat perkenan istana.

Pengerusi BN Perlis, Shahidan Kassim mencadangkan adiknya, Ismail yang terpilih wakil rakyat Tambun Tualang sebagai calon menteri besar. Raja Perlis sebaliknya melantik Azlan yang mengangkat sumpah dalam satu majlis di Istana Arau minggu lalu tanpa kehadiran sembilan Adun BN yang lain.

Pada sebelah petang hari yang sama, Shahidan dan sembilan Adun itu mengadakan sidang media di Kuala Lumpur mengumumkan cadangan “pemecatan” Azlan dari Umno. Shahidan juga meminta Raja Perlis tidak campur tangan dalam pemilihan calon yang sudah ditentukan oleh parti. – 28 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen