Turun naik pasaran saham normal, kata CEO KWSP


Mohd Farhan Darwis

Turun naik pasaran saham perkara biasa dan situasi di Malaysia sihat, kata Ketua Pegawai Eksekutif KWSP Shahril Ridza Ridzuan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 28 Mei, 2018.

TURUN naik pasaran saham adalah perkara biasa dan tidak seharusnya dilihat dalam tempoh singkat, kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Shahril Ridza Ridzuan.

Shahril berkata, keadaan pasaran saham di Bursa Malaysia juga adalah sihat.

“Aktiviti pasaran saham sihat di bursa dan kami tidak risau, turun naik pasaran adalah perkara biasa. Perlu diingatkan kita jangan melihat pasaran dalam tempoh singkat, kita perlu lihat dalam tempoh tiga hingga empat tahun,” katanya kepada pemberita di ibu negara hari ini.

Beliau berkata demikian selepas pertemuannya dengan Majlis Penasihat Kerajaan di Menara Ilham di Kuala Lumpur hari ini bagi menerangkan perancangan badan berkenaan.

Sebelum ini bekas Perdana Menteri Najib Razak mendakwa pasaran saham merundum kerana kerajaan Pakatan Harapan (PH) menakutkan pasaran saham dan pelabur kerana mengumumkan hutang negara berjumlah RM1 trilion.

Najib mendakwa pengumuman itu membawa kepada kejatuhan bursa saham.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata, prestasi kejatuhan pasaran saham di Bursa Malaysia melibatkan pelbagai faktor lain dan bukan hanya semata-mata isu skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) serta kedudukan hutang negara mencecah RM1 trilion.

Lim dilaporkan berkata, beberapa pasaran lain di seluruh dunia turut mengalami penurunan akibat pelbagai faktor termasuk di Thailand.

Shahril juga mengesahkan tiada perbincangan mengenai pemansuhan tol ketika pertemuan itu berlangsung.

“Pertemuan hari ini adalah untuk menjelaskan mengenai KWSP, apa yang kami laksanakan untuk ahli dan bagaimana kami lakukan pelaburan kami. Tol tidak dibincangkan,” katanya. – 28 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen