China jemput Iran ke sidang kemuncak di tengah-tengah ancaman AS


Presiden China Xi Jinping akan bertemu rakan sejawatnya dari Iran Hassan Rouhani di luar mesyuarat Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO) dari 9 hingga 10 Jun di Qingdao, kata Menteri Luar Negeri China Wang Yi. – Gambar AFP, 28 Mei, 2018.

PRESIDEN Iran akan menghadiri sebuah sidang kemuncak dengan rakan sejawatnya dari China dan Rusia pada bulan depan, kata pegawai di Beijing pada Isnin, di tengah-tengah usaha untuk menyelamatkan perjanjian nuklear yang bergolak disebabkan ancaman Donald Trump.

China, Rusia dan kuasa-kuasa Eropah, negara yang menandatangani perjanjian nuklear Iran pada 2015, mahu menyelamatkan perjanjian itu berikutan ancaman presiden AS untuk menghentikannya dan mengembalikan semula sekatan.

Presiden China Xi Jinping akan bertemu rakan sejawatnya dari Iran Hassan Rouhani di luar mesyuarat Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO) dari 9 hingga 10 Jun di Qingdao, kata Menteri Luar Negeri China Wang Yi.

Presiden Rusia Vladimir Putin akan turut hadir sidang kemuncak tersebut, tambahnya.

Wang tidak memasukkan perjanjian nuklear dalam pembacaan agenda rasmi sidang kemuncak itu.  

Namun Beijing, yang merupakan rakan perdagangan utama Iran dan salah satu pembeli terbesar bahan mentah negara itu, memberi isyarat yang ia akan tetap bekerjasama dengan negara Islam itu walaupun AS mengambil langkah berkenaan.

Ahli perniagaan China dijangka mempertingkan aktiviti di iran untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan syarikat AS dan kemungkinan penarikan diri pesaing Eropah di tenga-tengah langkah penguatkuasaan oleh AS.

Iran ketika ini adalah ahli pemerhati SCO, walaupun ia telah lama memohon keahlian penuh.

Blok serantau itu menumpukan pada keselamatan dan perdagangan yang turut membabitkan empat republik Asia tengah bekas Soviet dan dua ahli baru, Pakistan dan India. – AFP, 28 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen