China dalam usaha hasilkan kenderaan lebih ringan, kurang mencemar


Sebuah kenderaan yang hanya 10% lebih ringan akan membawa pengurangan sebanyak enam peratus dalam pelepasan dan pencemaran karbon. – Gambar AFP, 28 Mei, 2018.

SEMAKIN ringan kenderaan, semakin kurang pencemarannya. Berdasarkan premis ini, penyelidik di syarikat teknologi pengeluaran kereta di China, JEE Automation Equipment Co Ltd sedang berusaha untuk mewujudkan pelbagai kereta tenaga baharu yang menawarkan urusan persekitaran yang lebih baik sambil mengekalkan kecekapan dan prestasi kenderaan moden serta canggih.

“Sebuah kenderaan yang hanya 10% lebih ringan akan membawa pengurangan sebanyak enam peratus dalam pelepasan dan pencemaran karbon,” kata Pengurus Makmal JEE, Tang Wei semasa lawatan media ke kilang syarikat tersebut di Hebei pada Ahad.

Satu daripada cara untuk mengurangkan berat kenderaan ialah bahan yang digunakan untuk bahagian dan komponen, katanya.

Untuk itu, penyelidikan dan pembangunan yang menyeluruh sedang dijalankan di JEE.

Terdapat pelbagai cabaran, kata Tang, yang bersama-sama dengan 500 yang lain dalam pasukan itu, bertanggungjawab untuk penyelidikan, pembangunan dan ujian di JEE, yang merupakan perintis dan pembekal utama sistem elektrik atau E-drive untuk kenderaan tenaga baharu.

Cabaran terbabit adalah dalam memastikan kualiti dan kecekapan dengan menggunakan bahan yang lebih ringan dan banyak kemajuan yang telah dicapai, kata Tang sambil menambah bahawa kereta sedemikian akan dapat dikeluarkan dalam masa terdekat.

Terdahulu pada Ahad, Yu Aihua, ahli Jawatankuasa Parti Wilayah Anhui dan Ketua Pengarah Jabatan Publisiti telah melancarkan Lawatan Media Arus Perdana 10 Negara Asean dan Media Sasaran Seberang Laut Terkemuka China Ke Anhui.

Program yang memasuki tahun keempat itu bertujuan merapatkan hubungan perdagangan dan pelaburan antara China dan Asean melalui media.

Bercakap kepada media berikutan pelancaran itu, Yu berkata, Anhui, salah sebuah wilayah perkilangan China yang paling berkuasa, bergerak ke era baru kecerdasan teknologi dalam keupayaan dan kepakaran pembuatannya dan mempunyai banyak penawaran dan pertukaran dengan industri dari rantau ini dan rantau lain.

Menurutnya, selain mengintegrasi dan bekerjasama dengan negara Asean dan medianya, wilayah Anhui juga merancang membuka pintu kepada Eropah dan rantau lain.

Rantau ini, yang menempatkan VCD pertama di dunia, penyaman udara dan mikrokomputer domestik pertama China, kini menjadi tuan rumah Ekspo Perdagangan Dunia 2018 di sini, yang menampilkan inovasi dan teknologi terkini daripada teknologi komunikasi kuantum yang tinggi kepada kereta api laju, automasi 4.0 dan robotik.

Sementara itu, Ketua Pengarah Pejabat Penerangan Anhui Zheng Mingwu berkata, rantau ini dijangka meningkatkan lagi hubungan perdagangannya dengan negara anggota Asean.

“Sejak beberapa tahun lalu, dengan pelaksanaan inisiatif ‘Jalur dan Jalan’, hubungan antara Anhui dan Asean menjadi semakin rapat,” katanya.

Pada akhir 2017, Anhui telah menubuhkan 91 perusahaan luar negara di ASEAN dengan pelaburan langsung sebanyak AS$390 juta.

Pada tahun itu, Anhui dan Asean mencatat perdagangan berjumlah AS$5.95 bilion, meningkat 17.7 peratus berbanding tahun sebelumnya dan trend tersebut dijangka berterusan tahun ini, kata Zheng. – Bernama, 28 Mei, 2018. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen