-2.jpg)
PERLETAKAN jawatan Abdul Azeez Abdul Rahim sebagai pengerusi Lembaga Tabung Haji membuka lembaran baharu kepada badan yang disanjung tinggi di seluruh dunia Islam itu, khususnya dalam aspek pengurusan haji.
Ini kerana sejak beberapa tahun kebelakangan ini, badan itu menjadi perhatian umum lebih kerana sebab yang salah. Mana-mana institusi dan badan yang dikepalai oleh orang politik semestinya akan menjadi perhatian masyarakat, lebih-lebih lagi Lembaga Tabung Haji.
Namun dalam konteks hari ini, yang lebih menarik perhatian tentang Lembaga Tabung Haji adalah kaitannya dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Tiga tahun lalu, ketika didedahkan bahawa Tabung Haji telah membeli sekeping tanah seluas 1.6 ekar di Tun Razak Exchange (TRX) dengan nilai RM188.5 juta, pelbagai reaksi timbul.
Tabung Haji mendakwa pembelian tersebut satu pelaburan bijak kerana mendapat harga di bawah pasaran serta sebagai strategi untuk meningkatkan hasil pelaburan. Berdepan tekanan akibat sensitiviti pendeposit, Tabung Haji pada peringkat awalnya menyatakan tanah tersebut akan dijual semula dan pembeli berpotensi sudah dikenal pasti dengan kadar pulangan keuntungan segera dijamin atas penjualan tanah tersebut.
Pengumuman yang dibuat atas “nasihat” perdana menteri ketika itu adalah satu usaha untuk meredakan kemarahan orang ramai khususnya pendeposit Tabung Haji. Hakikatnya Tabung Haji tidak menjual tanah tersebut dan bercadang untuk membangunkan tanah tersebut bagi memenuhi strategi pelaburannya.
Apa yang menjadi tumpuan di sini adalah bagaimana lembaga yang ditubuhkan dengan Akta Parlimen ini diterajui oleh seorang ahli politik dan membuat keputusan-keputusan perniagaan dan pelaburan yang mengundang sasaran motif politik kerana umum mengetahui 1MDB adalah isu besar pada ketika itu lagi.
Akta Tabung Haji 1965 menyatakan fungsinya sebagai;
a) mentadbirkan kumpulan wang;
b) mentadbirkan segala perkara yang berkenaan dengan kebajikan jemaah haji dan untuk merumuskan dasar yang berkaitan dengannya; dan
c) melakukan benda-benda lain yang dikehendaki atau dibenarkan dilakukan di bawah akta ini.
Fungsi pertama dan kedua lembaga ini sebagai mana tanggapan ramai adalah sebagai badan yang ditubuhkan kerajaan untuk membantu memudahkan urusan umat Islam di negara ini melaksanakan rukun Islam kelima.
Sewajarnya Tabung Haji kembali mendapatkan kepercayaan masyarakat di dalam urusan pengendalian jemaah haji.
Reputasi Tabung Haji selaku badan pengurusan jemaah haji yang cemerlang tidak sepatutnya dipalitkan dengan keputusan-keputusan kontroversi melibatkan ahli politik dalam negara ini khususnya apabila ia dikaitkan dengan skandal 1MDB. Warga kerja Tabung Haji perlu diberi ruang untuk melaksanakan tugas mereka secara professional.
Isu kuota haji yang dimiliki pihak-pihak yang berkepentingan tertentu perlulah diperbetulkan. Banyak tanggapan bahawa terdapat ahli Parlimen dan menteri-menteri yang mempunyai kuota haji tertentu untuk diberikan kepada sesiapa yang dikehendakinya. Sistem ini sememangnya satu sistem “patronage” yang sangat berkesan untuk mendapatkan sokongan politik sebagai balasan terhadap pemberian kuota haji tersebut.
Kuota haji semasa bagi Malaysia adalah sebanyak 30,200 orang jemaah haji. Tidak diketahui sama ada angka ini secara keseluruhannya diuruskan di dalam sistem penggiliran yang diuruskan oleh Tabung Haji ataupun tidak? Adakah jumlah kuota haji ini berjaya dipenuhi keseluruhannya setiap tahun?
Atau memang terdapat kuota yang dipegang oleh ahli-ahli politik yang akhirnya tidak berjaya dipenuhi pada saat-saat akhir sekaligus menafikan hak pendeposit Tabung Haji yang sedang menunggu giliran masing-masing untuk mengerjakan haji. Atau adakah terdapat kuota tambahan lagi selain daripada angka rasmi yang dinyatakan tersebut?
Bagaimana pula dengan sejumlah jemaah haji yang ditaja ibadah hajinya oleh Yayasan 1MDB? Program yang dimulakan pada tahun 2011 itu sehingga tahun lepas telah membiayai perbelanjaan haji untuk 5,711 orang jemaah haji yang terdiri daripada para imam, pengajar pondok, guru tahfiz, tok batin, pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan pengamal media. Penerima manfaat program ini pastinya menikmati kelebihan menunaikan haji berbanding jemaah lain yang menanti giliran mereka.
Dengan laman web Tabung Haji menunjukkan tempoh 85 hari lagi tinggal sebelum tarikh wukuf, serta mengambil kira penerbangan akhir jemaah haji Malaysia adalah lima hari sebelum hari wukuf, urusan awal pemilihan jemaah haji bagi musim haji tahun ini sepatutnya sudah dapat diselesaikan.
Jangan dibiarkan sistem “patronage” yang diamalkan kerajaan terdahulu mengganggu kerja warga Tabung Haji yang komited untuk memastikan persiapan jemaah haji mengerjakan ibadah haji terganggu. Jemaah haji yang layak pergi menunaikan haji pada sesuatu tahun haji tersebut perlu ditunaikan haknya segera. Dengan ini, peruntukan kuota jemaah haji Malaysia dapat dioptimumkan.
Tabung Haji juga wajar menangani persepsi awam khususnya pendepositnya yang berjumlah 9.3 juta orang dengan jumlah deposit sebanyak RM70,780 juta terhadap integritinya mentadbir wang yang didepositkan. Pertikaian tentang kaedah agihan dividen dan bonus tahunan khususnya seperti yang berlaku bagi tahun kewangan 2017 adalah sesuatu yang menimbulkan pertanyaan ramai.
Adakah kadar dan kaedah yang dikenakan bagi tahun terkini itu yang dipertikaikan mempunyai kaitan langsung dengan urus tadbir dan tata kelola pengurusan kewangan serta strategi pelaburan Tabung Haji? Sekali lagi persepsi awam terhadap kaitan Tabung Haji dengan skandal 1MDB tidak boleh diketepikan begitu sahaja.
Sekiranya dua fungsi pertama Tabung Haji ini dapat diperkemaskan lagi oleh pengurusan Tabung Haji, tidak mustahil Tabung Haji boleh kembali menjadi suatu institusi yang mendapat kepercayaan awam.
Sementara fungsi ketiga badan ini yang memberikan ruang yang besar kepada Tabung Haji dalam operasi hariannya juga perlu dipertanggungjawabkan. Keputusan-keputusan pelaburan dan pembangunan hartanah yang diambil oleh anak-anak syarikat Tabung Haji perlu dibuat secara profesional, bertanggungjawab dan bebas daripada unsur-unsur politik dan berkepentingan tertentu.
Matlamat akhir kepada aktiviti-aktiviti ini seharusnya kembali kepada tujuan untuk memenuhi dua fungsi pertama penubuhan Lembaga Tabung Haji, iaitu untuk mentadbir kumpulan wang dan mentadbir pengurusan haji untuk jemaah Malaysia. – 28 Mei, 2018.
* Muthanna Saari dari Centre for Malaysian Political & Economic Transcendence (Competent).
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen