CHINA menyuarakan “bantahan keras” selepas dua kapal perang AS berlayar berhampiran kepulana dituntut Beijing dalam kawasan Laut China Selatan yang jadi rebutan, sekaligus menambah ketegangan dalam perairan strategik dunia itu.
Kementerian Luar China mengeluarkan kenyataan meluahkan “penentangan sepenuhnya” kepada AS yang membenarkan kapalnya berlayar di kawasan Kepulauan Paracel yang jadi rebutan Ahad lalu.
Tentera AS melakukan apa yang disifatkannya sebagai “kebebasan perlayaran: di Laut China Selatan bagi membantah tuntutan China ke atas kawasan itu, walaupun AS tidak menuntut sebarang kawasan di situ.
Kapal perang tentera laut AS, Higgins dan Antietam, masuk ke perairan China tanpa kebenaran dan bertembung dengan tentera laut China yang “melakukan pengesahan dan identifikasi kapal AS itu menurut undang-undang dan memberi amaran supaya meninggalkan kawasan itu,” kata kementerian.
Agensi berita Xinhua melaporkan kedua-dua kapal itu “diusir” dari perairan negara itu.
Operasi itu dilakukan beberapa minggu selepas Beijing menerbangkan pesawat pejuang dengan kemampuan senjata nuklear ke kepulauan itu dalam usaha mereka menuntut kawasan itu.
Tindakan itu mencetuskan kritikan AS, yang minggu lepas menarik balik jemputan kepada China untuk menyertai latihan ketenteraan bersama di Lautan Pasifik kerana “tindakan ketenteraan berterusan” Beijing di Laut China Selatan.
Beijing sudah membina kepulauan palsu bagi memperkukuh tuntutan mereka di kawasan Laut China Selatan kaya sumber walaupun menerima bantahan negara Asia Tenggara.
Negara sekitar Laut China Selatan terutama yang terlibat dalam tuntutan bersama perairan itu meluahkan kebimbangan tindakan China akhirnya membataskan pergerakan negara lain di kawasan itu. – AFP, 28 Mei, 2018.
Komen