BTS takluk AS, ungguli carta Billboard


Populariti BTS dianggotai Suga, J-Hope, Rap Monster, Jimin, V, Jungkook dan Jin kini jadi fenomena dunia. – Gambar AFP, 28 Mei, 2018.

KUMPULAN terkenal Korea Selatan, BTS menjadi kumpulan K-Pop pertama mengungguli carta album di Amerika Syarikat, bukti genre musik itu kini jadi fenomena global.

Dikenali kerana rupa kacak dan tarian rancak, kumpulan itu menjadi eksport musik Korea Selatan paling dikenali dan lumayan pada masa kini.

Ahad lalu, mereka mencipta satu lagi sejarah- menjadi kumpulan K-Pop pertama mengungguli carta musik Billboard 200.

“Ia adalah pertama kali kumpulan tujuh orang dan album K-Pop pertama menjadi juara,” tulis Billboard dalam laporannya mengenai ranking carta terkini itu.

Ketika ramai peminat musik di Barat mungkin tertanya-tanya siapakah kumpulan itu, sukar untuk memperlekeh populariti BTS yang dianggotai oleh Suga, J-Hope, Rap Monster, Jimin, V, Jungkook dan Jin.

Menurut analisis data, mereka adalah topik paling banyak dibincangkan di Twitter pada 2017, dua kali ganda lebih banyak berbanding gabungan perbincangan mengenai Presiden Donald Trump dan Justin Bieber.

Mereka mempunyai peminat seluruh dunia dan termasuk di Jepun, China, Asia Tenggara dan Amerika Latin.

Album terbaru mereka “Love Yourself: Tear” menolak album terbaru Post Malone, seorang lagi bintang hip hop meningkat naik.

Walaupun BTS menyanyi dalam Bahasa Korea, gaya mereka yang menggabungkan rentak rancak, hip hop dan R’n’B memikat hati ramai peminat.

Tahun lepas, album mereka “Love Yourself: Her” menjadi album K-Pop pertama masuk ke dalam carta 10 album paling banyak dijual di Amerika Syarikat dan berada di kedudukan pertama dalam cara iTunes di lebih 70 buah negara. – AFP, 28 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen