KECEWA dengan kenyataan umum dibuat adik-adiknya mengenai “hal peribadi keluarga”, Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong hari ini menafikan dakwaan dengan berkata kenyataan itu menyakiti ayah mereka, dan legasi Lee Kuan Yew.
“Saya amat kecewa kerana adik-beradik saya memilih untuk mengeluarkan kenyataan umum mengenai hal peribadi keluarga. Saya amat sedih dengan dakwaan dibuat.
“Ho Ching (isteri) dan saya menafikan dakwaan ini, terutamanya tuntutan tidak masuk akal yang saya mempunyai cita-cita politik untuk anak saya,” kata beliau dalam laman Facebooknya.
Hsien Loong, yang sedang bercuti di luar negara bersama keluarganya, menambah walaupun adik-beradik mungkin mempunyai perbezaan pendapat, mereka perlu kekal sebagai sebuah keluarga.
Beliau mengulas kenyataan enam muka surat yang dikeluarkan Dr Lee Wei Ling dan Lee Hsien Yang, yang menuduh abang mereka menyalahgunakan “kedudukan dan pengaruhnya ke atas kerajaan Singapura bagi tujuan agenda peribadinya”.
Mereka mendakwa terasa dipantau rapi dan bimbang kemungkinan tindakan agensi kerajaan terhadap mereka dan isteri Hsien Yang, Suet Fern.
Perdana menteri bagaimanapun berkata, sejak kematian bapa mereka pada Mac 2015, sebagai anak sulung, beliau mencuba yang terbaik untuk menyelesaikan isu di kalangan adik-beradik dalam keluarga, “kerana menghormati ibu bapa kami”.
“Kenyataan adik-beradik saya ‘menyakiti legasi keluarga kami. Saya akan melakukan yang terbaik untuk terus berbuat sewajarnya kepada ibu bapa saya.”
Hsien Loong berkata beliau akan terus berkhidmat untuk Singapura dengan jujur, khususnya menegakkan meritokrasi.
“Sebagaimana diketahui adik-beradik saya, saya kini di luar negara bercuti bersama keluarga. Saya akan mempertimbangkan perkara ini lagi selepas kembali pada hujung minggu ini,” kata Lee mengakhiri postingnya. – 14 Jun, 2017.
Komen