JEREBU hasil letupan gunung berapi Kilauea di Hawaii menyelubungi kepulauan Marshall yang terletak 3,700 kilometer jauhnya semalam, dan pegawai kaji cuaca memberi amaran ia akan terus merebak ke arah barat.
Jerebu itu, fenomena yang dikenali sebagai “vog” atau asap gunung berapi” sedang merebak di seluruh Micronesia, kata Perkhidmatan Cuaca Nasional AS di Guam.
Letupan gunung berapi di Kepulauan Utama Hawaii sekarang memasuki minggu keempat.
Pakar kaji cuaca menasihati penduduk Kepulauan Marshall yang mempunyai masalah kesihatan supaya tinggal di dalam rumah, syarikat penerbangan dan perkapalan pula sudah diberi amaran tentang masalah penglihatan.
Pegawai mengatakan jerebu hasil letupan Kilauae akan merebak lebih jauh sehingga ke Kosrae, Pohnpei dan Chuuk dalam Persekutuan Mirconesia dalam masa beberapa hari lagi.
Kilauea adalah gunung berapi paling aktif di dunia dan salah satu daripada lima gunung berapi terletak di Kepulauan Hawaii.
Ia mula meletup pada 3 Mei lalu menyebabkan 2,000 orang terpaksa dipindahkan.
Pakar percaya aktiviti gunung itu adalah permulaan kepada letupan lebih besar sama seperti yang pernah berlaku pada pertengahan 1920-an. – AFP, 28 Mei, 2018.
Komen