Sengketa semakin buruk, adik Hsien Loong tinggalkan Singapura


Lee Hsien Yang, adik kepada Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong, meninggalkan Mahkamah Agung pada 10 April, 2017. Beliau mengeluarkan kenyataan enam muka surat semalam, menuduh abangnya menyalahgunakan kedudukan dan pengaruh bagi tujuan agenda peribadi. – Gambar AFP, 14 Jun, 2017.

ADIK lelaki perdana menteri Singapura berkata terpaksa meninggalkan republik itu kerana bimbang Lee Hsien Loong menggunakan sistem ke atasnya.

Dakwaan mengejut itu menyingkap perbalahan mereka adik-beradik yang tercetus selepas kematian Lee Kuan Yew.

Tuduhan itu turut menimbulkan persoalan mengenai sistem meritokrasi yang sering diperkatakan dan sikap kerajaan yang bertindak mengikut peraturan.

Dr Lee Wei Ling dan Lee Hsien Yang mengeluarkan kenyataan enam muka surat semalam, menuduh saudara mereka itu menyalahgunakan “kedudukan dan pengaruhnya ke atas kerajaan Singapura bagi tujuan agenda peribadinya”, lapor Straits Times hari ini.

Mereka juga menuduh Hsien Loong cuba mengambil kesempatan ke atas legasi Kuan Yew dengan gagal mematuhi hasratnya untuk merobohkan rumah di Oxley Road.

Wei Ling dan Hsien Yang mendakwa berasa dipantau dan takut dengan penggunaan agensi negara terhadap mereka dan isteri Hsien Yang, Suet Fern.

“Ini negara yang bapa saya, Lee Kuan Yew, sayangi dan bina. Ia menjadi rumah sepanjang hidup saya. Singapura akan selamanya kekal menjadi negara saya. Saya tidak mempunyai keinginan meninggalkannya. Hsien Loong satu-satunya sebab pemergian saya,” kata Hsien Yang dalam kenyataan itu.

Perkara yang menjadi persengketaan di antara adik-beradik Lee adalah rumah Kuan Yew di 38 Oxley Road, Singapura.

Wei Ling dan Hsien Yang adalah wasi bersama dan pemegang amanah harta mendiang ayahnya.

Kedua-duanya menyatakan semula hasrat bapa  untuk merobohkan rumah itu selepas kematiannya dan selepas Wei Ling keluar dari situ, tetapi mendakwa abang dan isteri, Ho Ching, menentang hasrat ini sebagai “pemeliharaan rumah akan meningkatkan kuasa politiknya”.

Bagaimanapun, terdapat adalah langkah kerajaan Singapura mengisytiharkan rumah itu sebagai tapak warisan selepas kematian Kuan Yew pada 2015.

Hsien Loong berkata beliau menarik diri daripada semua keputusan kerajaan yang melibatkan rumah dan, atas sifat peribadinya, juga ingin melihat hasrat bapanya dihormati.  – 14 Jun, 2017. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen