SUDAH hampir masuk tiga kali Selasa sejak rejim Barisan Nasional (BN) tumbang dari kerusi kerajaan di Putrajaya. Benderanya pun sudah lama dibiar reput di tiang-tiang kayu. Warna birunya kian pucat lesi.
Namun, ketika inai pilihan raya masih belum luntur dari jemari kita, kerajaan baharu sudah galak beraksi. Hari demi hari para wartawan mengadu lesu, berlari-lari ke sana ke mari mengejar berita yang pecah saban waktu.
Sepertinya rancangan khas musim Krismas dikendali Oprah. Cuma kali ini, yang tidak berkesudahan ialah sidang medianya. Kamu dapat sidang media, dia dapat sidang media, semua orang dapat sidang media. Seluruh negara dapat sidang media.
Belum pernah lagi barangkali sejak 1998, rakyat Malaysia begitu terpaku dengan perkembangan politik semasa. Hatta yang sudah 20 tahun tidak menonton Buletin Utama di TV3, kini duduk di depan televisyen menantikan apa khabar terkini kerajaan Pakatan Harapan (PH).
Rantai besi yang membelenggu ibu pertiwi sudah ternyata luluh satu persatu. Deria yang selama ini bungkam kembali melihat dan mendengar serta berani berkata-kata. Tangan yang sekian lama terikat sudah mula bergerak membuka langkah bunga dan buah. Luka-luka di tubuh sedang mula sembuh.
Selasa yang baru saja berlalu, suami Rosmah Mansor dipanggil ke ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, disoal siasat selama lima jam, dan kemudian mengadu letih lalu dibenarkan pulang. Mendiang Teoh Beng Hock tidak berasa layanan sebegini baik.
Khamis lalu, beliau kembali lagi ke pejabat yang serupa. Sama juga keadaannya, datang dengan wajah tersenyum, pulang dengan muka seperti kerang busuk. Orang Pulau Pinang kata, “Baru hang ada akai”.
Memberi makna kepada kemenangan
Jadi sekarang, setelah kemenangan diraih, apa yang akan kita buat dengan kemenangan itu? Malah lebih penting lagi, betulkah kita sudah menang?
Itu “messaging” utama PH sepanjang tempoh kempen pilihan raya yang lalu. “Kita Mesti Menang” dilaungkan di mana-mana ceramah, meski tidak dicetak pada kain-kain rentang atau poster-poster calon.
Ia menjawab persoalan umum tentang pilihan antara “Pepsi dan Coca Cola”; selain menjawab pertanyaan paling kerap disoal, “Boleh menangkah pembangkang ni?”
Faktor “boleh menang” ini menjadi penentu keputusan orang ramai. Kalau tak boleh menang, buat apa nak undikan?
Jawapan itu ditemukan Daim Zainuddin apabila beliau membuat keputusan untuk turun berkempen menyokong Pakatan Harapan. Dan keputusan Daim itu ternyata membantu ramai orang untuk percaya dengan faktor “boleh menang” gabungan pimpinan Dr Mahathir Mohamad ini.
Namun, adakah kemenangan dan kejayaan membentuk kerajaan di peringkat persekutuan bererti perjuangan sampai ke titik akhirnya?
Sudah tentu tidak. Baru tiga kali Selasa, dan baru satu mesyuarat Kabinet. Jalan perjuangan mengisi dan memberi makna kepada kemenangan rakyat Malaysia ternyata masih jauh.
Di sini pentingnya idealisme buruh tani, mahasiswa dan rakyat miskin kota. Merekalah yang paling terkesan dengan perubahan rejim, dan merekalah yang seharusnya paling ke hadapan untuk membina dasar-dasar baharu dalam proses besar membalut luka ibu pertiwi.
Kemenangan PH dalam pilihan raya 9 Mei bukanlah untuk memberi ruang selesa kepada ahli politik duduk di kerusi-kerusi mahal tinggalan rejim BN.
Bahkan sebenarnya adalah ruang yang baru terbuka untuk massa rakyat membanjiri wacana tentang penambahbaikan hidup mereka sebagai warga sebuah negara yang merdeka semula.
Miskin kota yang terabai, mahasiswa yang dikilang untuk mengisi jawatan jentera pemodal, serta para buruh tani yang menjadi jiwa raga jentera itu, harus segera bingkas memberi erti kepada kemenangan yang diraih, sebelum makhluk lain mula bertenggek di pintu-pintu kementerian menadah tangan demi kepentingan nafsi-nafsi.
Rencana besar membalut luka ibu pertiwi bukan setakat harus bermula dengan mengambus liang-liang luka sektor kewangan negara. Membalut luka ibu pertiwi ertinya memerdekakan rakyatnya daripada menahan lapar dan dahaga.
Kerana merdeka yang sebenar, menurut sasterawan rakyat Pyanhabib Rahman ertinya “setiap usus perut rakyat berisi nasi, vitamin dan zat besi”. – 28 Mei, 2018.
* Izmil Amri, berasal dari Pulau Pinang dan sering gagal dalam banyak hal. Kini seorang pemerhati politik yang sedang cuba untuk kurangkan makan nasi kandar. Berkicau di @The_Mamu
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen