Peluang bicara semula kes Anwar jika dakwaan bayaran RM9.5 juta benar


Diyana Ibrahim

Pengerusi Bersama Jawatankuasa Perlembagaan Undang-Undang Majlis Peguam, Surendra Ananth berkata jika dakwaan didedahkan lebih awal dan terbukti benar keputusan kes rayuan Anwar pada 2013 mungkin berbeza pada forum di Gerak Budaya, Petaling Jaya, Selangor, malam tadi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 14 Jun, 2017.

DAKWAAN pembayaran RM9.5 juta kepada Muhammad Shafee Abdullah yang mengetuai pendakwaan dalam kes liwat Anwar Ibrahim, boleh menyebabkan perbicaraan semula berdasarkan hujah pembelaan konspirasi politik, kata peguam hak asasi manusia kepada forum malam tadi.

“Berdasarkan konspirasi politikal yang digunakan Anwar bagi mempertahankan dirinya dan jika dakwaan mengenai RM9.5 juta itu benar dibayar maka sudah pasti ada salah perbicaraan (terdahulu),” kata Pengerusi Bersama Jawatankuasa Perlembagaan Undang-Undang Majlis Peguam, Surendra Ananth. 

“Dan ada keperluan untuk mengadakan perbicaraan semula untuk menyiasat Shafee. Mahkamah juga boleh mengenepikan sabitan semasa perbicaraan semula,” katanya dalam forum bertajuk “Kesan Daripada Pendedahan RM9.5 juta”  di Gerak Budaya, Petaling Jaya malam tadi.

Bagaimanapun, beliau melihat peluang sukar Anwar bagi membuka kes liwatnya dengan bekas pembantu Saiful Bukhari Azlan tujuh tahun lepas dengan menggunakan bayaran RM9.5 juta sebagai bukti baru.

Beliau berkata jika dakwaan tersebut didedahkan lebih awal iaitu semasa Anwar membuat permohonan di Mahkamah Rayuan untuk melucutkan kelayakan Shafee yang mengetuai pasukan pendakwaan pada 2013 maka keputusan mungkin berbeza.

“Bagaimanapun, agak sukar untuk saya melihat adanya kaitan bagaimana RM9.5 juta akan memberi kesan terhadap bukti kes tersebut kerana ia memerlukan (bukti) yang lebih lagi.”

Pendedahan mengenai bayaran rahsia itu dilakukan Sarawak Report pada 31 Mei lalu menerusi laman sesawangnya.

Laporan tersebut mendakwa Shafee menerima pembayaran berasingan sebanyak dua kali berjumlah RM9.5 juta secara terus daripada akaun peribadi Perdana Menteri Najib Razak daripada SRC International Sdn Bhd, bekas anak syarikat pelaburan negara yang dilanda skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Sarawak Report turut mendakwa pembayaran kali kedua sejumlah RM5.9 juta diberikan kepada Shafee dua minggu sebelum mahkamah mengenepikan pembebasan Anwar pada 2014.

Tambah Surendra jika benar ia memberi kesan dalam kes Anwar, kemungkinan pendekatan dibenarkan mahkamah adalah tidak melibatkan Shafee dalam perbicaraan atau dipanggil menjadi saksi.

Selain itu perdana menteri dan isteri, Rosmah Mansor akan  disapina untuk memberi keterangan.

Dakwaan terbaharu itu menimbulkan kemarahan di kalangan penyokong bekas ketua pembangkang dengan membuat laporan polis agar perkara tersebut dapat disiasat.

Shafee yang selama ini berdiam diri, pada Jumaat lalu memaklumkan kepada media akan mengeluarkan kenyataan tidak lama lagi kepada media.

Forum malam tadi dikendalikan Yusmadi Yusoff, pengasas Inisiatif Serantau bagi Tadbir Urus, Hak Asasi Manusia & Keadilan Sosial (HAK) yang mengatakan ini peluang bagi kerajaan membersihkan dakwaan yang perbicaraan Anwar dikendalikan secara tidak adil.

Ceramah tersebut disiarkan secara langsung di laman Facebook Gerak Budaya yang disaksikan lebih 32,000 pengguna media sosial dan lebih 140 secara langsung. – 14 Jun, 2017. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen