Ketua pengarah RoS diganti


The Malaysian Insight

SURYATI Ibrahim, ketua pengarah Pendaftar Pertubuhan (RoS) yang menolak pendaftaran Pakatan Harapan (PH) sebagai sebuah parti politik, telah ditukarkan ke Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pada Selasa, 22 Mei lalu.

Tempat beliau digantikan oleh Masyati Abang Ibrahim berkuat kuasa pada Rabu lalu.

Pertukaran Suryati dan pelantikan Masyati diumumkan oleh ketua setiausaha Kementerian Dalam Negeri dalam satu kenyataan hari ini.

Masyati sebelum ini merupakan perunding kanan di Bahagian Transformasi Sektor Awam JPA, dan berpengalaman luas dalam bidang pentadbiran dan pengurusan, kata kenyataan itu.

RoS meluluskan pendaftaran PH sebagai parti politik pada Rabu lalu, 17 Mei, genap seminggu selepas pengundi menumbangkan Barisan Nasional dan memberi mandat kepada PH untuk jadi kerajaan baharu di Putrajaya.

Susulan keputusan RoS menolak pendaftaran PH sebagai parti politik, semua parti gabungannya bertanding menggunakan logo tunggal PKR dalam Pilihan Raya Umum ke-14 yang baru lalu. – 25 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen