JABATAN kastam Malaysia merampas hampir 300kg sisik tenggiling yang diseludup melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (Klia).
Sisik seberat 288kg itu ditemui dalam 12 kotak dilabel sebagai cengkerang tiram dalam surat muatan udara, pada Jumaat lalu.
Sisik itu bernilai kira-kira RM3.69 juta tiba dari Ghana menerusi pesawat Turkish Airlines, kata kenyataan jabatan kastam.
Pihak berkuasa masih menjalankan siasatan.
Sisik tenggiling yang juga haiwan terancam itu mendapat permintaan tinggi dan mahal di Vietnam dan China di mana mereka percaya ia mempunyai nilai perubatan.
Tenggiling ialah haiwan paling banyak diseludup di dunia.
Bulan lalu, Malaysia berjaya menggagalkan penyeludupan terbesar sisik tenggiling iaitu sebanyak 712kg bernilai lebih RM9 juta.
Tenggiling haiwan yang boleh ditemui di hutan di Indonesia, sebahagian Malaysia dan kawasan selatan Thailand, dan dagingnya dianggap makanan istimewa di China.
Empat spesies tenggiling juga boleh ditemui di Afrika. Semakin banyak haiwan itu diseludup ke Asia Tenggara dari Afrika, tetapi kebanyakannya dihantar ke China.
Permintaan tinggi menyebabkan anggaran sejuta tenggiling diambil dari hutan negara Asia dan Afrika sepanjang tempoh sedekad lalu. – AFP, 13 Jun, 2017.
Komen