Diplomasi bola keranjang Dennis Rodman di Korea Utara


Dennis Rodman tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Beijing sebelum meneruskan perjalanan ke Korea Utara hari ini. – Gambar AFP, 13 Mei, 2017

BEKAS pemain bola keranjang NBA, Dennis Rodman dijangka tiba di Pyongyang hari ini, lapor media Amerika Syarikat tentang bekas pemain kontroversi itu yang seringkali melakukan “diplomasi bola keranjangnya”.

Bekas pemain Chicago Bulls itu sudah melakukan sekurang-kurangnya empat lawatan ke Pyongyang, terbaru pada 2014 apabila dia menerima kecaman apabila rakaman video dia menyanyikan lagu selamat ulang tahun kepada “kawan sepanjang hayatnya” pemimpin Korea Utara Kim Jong-Un.

Personaliti berusia 56 tahun itu dikesan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Beijing tetapi enggan menjawab soalan wartawan, kata CNN, yang menambah dua pegawai Korea Utara mengesahkan yang Rodman dijangka tiba di Pyongyang pada hari ini.

“Dia pergi sebagai (atas kapasiti) warganegara bebas,” kata pegawai kanan pentadbiran Trump kepada Fox News.

Pemain itu yang dikenali sebagai “The Worm” ialah salah seorang daripada orang Barat yang pernah bertemu Kim, yang memerintah selepas kematian bapanya Kim Jong-I1.

Tidak dapat dipastikan sama ada Rodman akan bertemu dengan Kim Jong Un semasa lawatan ini atau matlamat lawatannya kali ini.

Dia sebelum ini menyifatkan lawatannya- termasuklah lawatan pada 2013 bersama Harlem Globetrotters- sebagai “diplomasi bola keranjang” tetapi dia seringkali dikecam kerana gagal membangkitkan isu hak manusia atau rayuan tahanan Amerika Kenneth Bae yang ketika itu ditahan.

Rodman yang dikenali ramai kerana kehebatannya dalam gelanggang serta sikapnya yang seringkali menimbulkan kontroversi mula menjalinkan hubungan persahabatan dengan pemimpin Korea Utara itu sejak melakukan lawatan pertama pada 2013.

Lawatan ini dilakukan ketika hubungan Washington dan Pyongyang tegang- empat rakyat Amerika kini sedang dipenjarakan di negara paling tertutup di dunia itu- susulan beberapa ujian senjata yang dilakukan Korea Utara yang menyebabkan Amerika bertindak untuk mengukuhkan kedudukannya di rantau bergolak itu. – AFP, 13 Jun, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen