Bapa kesal tidak lapor anak perempuan radikal IS kepada pihak berkuasa


Ahli keluarga mula menyedari perubahan Syaikhah Izzah sejak 2014 tetapi tidak melaporkannya sehingga dia ditahan di bawah ISA di Singapura.– Gambar PEOPLEBAYT.COM, 13 Jun, 2017.

BAPA wanita Singapura pertama yang ditahan kerana radikalisasi menyesal kerana tidak melaporkan anak perempuannya kepada pihak berkuasa lebih awal walaupun menyedari tanda wujud yang anaknya itu mengikuti ideologi Negara Islam Syria dan Iraq (IS) sejak 2014, lapor Straits Times.

Syaikhah Izzah Zahrah Al Ansari, 22, yang bekerja sebagai pengasuh kanak-kanak di taska yang diuruskan parti pemerintah Singapura ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), lapor Kementerian Dalam Negeri Singapura dalam satu kenyataan semalam.

Dia cuba untuk pergi ke Syria dengan anaknya dan berkahwin dengan militan IS di sana, dan berhajat untuk menjadi “bali si syahid”, kata kenyataan itu.

Kementerian mengatakan yang ibubapanya dan kakaknya mula mendapati yang dia diradikalisasikan pada 2015 tetapi tidak melaporkan kepada pihak berkuasa dan mereka cuba untuk memujuknya supaya tidak memihak kepada IS dengan cara mereka sendiri.

“Tambahan pula, selepas Izzah ditahan, bukti penting berkaitan dengan rancangannya untuk menyertai IS dimusnahkan ahli keluarganya, dalam cubaan untuk meminimumkan tindakannya (Izzah),” kata kementerian.

Ayah Syaikhah Izzah berkata dia dan isterinya, kedua-dua mereka guru Al-Quran sambilan mengetahui pada 2014 yang anaknya mula berpakaian serba hitam dan berniqab, lapor akhbar harian bahasa Melayu Singapura, Berita Harian.

Syaikh Abdul Manf Al Ansari juga mendapati anaknya itu menggunakan bendera IS sebagai gambar profilenya di WhatsApp.

“Saya tanya jika dia ahli IS. Dia menafikan tetapi merasakan yang IS berjuang untuk Islam,” kata Syaikh Abdul Manaf,49.

“Saya beritahu dia yang semua ulama terkenal Islam menolak IS. Saya tanya dia, adakah halal dalam Islam untuk membunuh orang tidak bersalah, kanak-kanak dan wanita? Saya minta dia tunjuk saya bukti dalam AQuran dan sunnah yang semua perkara (keganasan IS) itu halal. Dia hanya mendiamkan diri.”

Dia dan isterinya mengatakan yang mereka memutuskan untuk tidak memaklumkan pihak berkuasa selepas dia berhenti memakai niqab dan mula mendengar muzik dan menonton wayang kembali.

“Kami ingat dia okay. Tetapi kami tak sedar yang dia makin radikal. Dia pandai berselindung.”

Selepas Syaikhah Izzah ditahan, dia menemui dokumen dalam bilik anaknya yang mengandungi maklumat berpindah ke Syria termasuk bagaimana hendak mendapatkan tiket.

Dia yang “marah dan jijik” membuang bahan itu, berharap dalam melindunginya.

Dia memberitahu pihak berkuasa sewaktu siasatan dilakukan, dan diberikan amaran.

“Ini tidak sepatutnya berlaku. Saya kesal sekali.”

Dia menasihati orang awam untuk menghubungi pihak berkuasa atau Kumpulan Pemulihan Agama (RRG), kumpulan imam sukarela dan ulama agama yang membantu menghalang ideologi radikal sekiranya mereka menyedari perubahan pada orang terdekat.

Kementerian berkata Syaikhah Izzah mula diradikalisasikan pada 2013 melalui propaganda IS dan hubungan atas talian yang dilakukannya.

“Dia mula percaya yang IS mewakili Islam sebenar. Radikalisasinya semakin lama semakin mendalam.”

Pada 2014, dia mula memuat naik bahan pro-IS di akaun sosial medianya, yang menyebabkan akaun itu ditutup, kata kementerian lagi.

Syaikhah Izzah menyokong usaha IS untuk membentuk “Kalifah” yang berasaskan tafsiran silap dan menyimpang daripada Islam dan pada 2015 dia mula mencari seorang militan IS di Syria untuk dikahwini kerana dia percaya dia akan menerima
”habuan syurga” sekiranya militan itu terbunuh dalam pertempuran.

Dia juga menyatakan kesediaan untuk menjalani latihan ketenteraan dan terlibat dalam pertempuran.

“Pada April 2017, dia bermegah dengan orang hubungannya (dalam IS) yang pihak berkuasa Singapura tidak dapat mengesannya,” – 13 Jun, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen