Qatar lawan sekatan, terbangkan 4,000 lembu


4,000 ekor lembu yang diterbangkan itu untuk menampung permintaan bekalan lebih sejuta penduduk Qatar yang selama ini bergantung kepada bekalan susu dari Arab Saudi. – Gambar AFP, 13 Jun, 2017.

SEORANG ahli perniagaan Qatar mengatasi sekatan yang dikenakan Arab Saudi kepada Doha dengan menerbangkan 4,000 ekor lembu ke negara Teluk itu selepas bekalan susu segar dihentikan , lapor Bloomberg.

Moutaz Al Khayyat, pengerusi Power International Holding, membawa haiwan berkenaan dari Australia dan Amerika Syarikat.

Sebanyak 60 pesawat Qatar Airways diperlukan dengan kos AS$8 juta (RM34.2 juta) untuk memindahkan lembu berkenaan- ada antaranya seberat 590kg setiap satu- ke ladang milik Al Khayaat, yang membina empayar perniagaan dalam bidang pembinaan, lapor portal kewangan itu.

Kebanyakkan susu segar dan barangan berasaskan susu untuk lebih sejuta penduduk Doha datang dari Arab Saudi sehinggalah seminggu lalu.

Al Khayyat berkata pengeluaran susu segara akan bermula pada akhir bulan Jun dan akan memenuhi 33% permintaan dalaman Qatar menjelang pertengahan Julai.

Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu dan Bahrain adalah sebahagian daripada negara yang mengumumkan menggantung hubungan dengan Qatar minggu lepas kerana mendakwa negara Teluk itu memberikan sokongan kepada kumpulan pelampau dan mempunyai ikatan politik dengan Syiah di Iran.

Di Doha, AFP melaporkan yang Qatar Airways mendesak badan penerbangan Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) untuk mengisytiharkan boikot kepada syarikat penerbangan itu “tidak sah” dan mencabul konvensyen antarabangsa mengenai pengangkutan udara 1944.

Dalam temubual yang disiarkan semalam, CEO Qatar Airways Akbar Al Baker menggelarkan tindakan boikot itu sebagai “sekatan tidak sah” dan mendesak badan penerbangan awam PBB masuk campur.  

Qatar Airways menjadikan Doha sebagai pusat pengangkutan global dalam masa hanya beberapa tahun sahaja, tetapi penganalisis industri mengatakan yang larangan udara negeri Teluk itu boleh menggugat kedudukannya selaku syarikat pengangkutan rentas benua utama dunia.

Al Baker turut mengkritik Presiden Amerika Syarikat Donald Trump susulan ulasan yang dikeluarkan mengaitkan Qatar dengan sokongan keganasan.

“ Saya rasa ulasan Presiden Trump tentang negara saya ialah salah tempat, salah maklumat dan saya sekali lagi mengulangi yang saya sangat kecewa dengannya.”

Semalam, Qatar mengatakan yang ia akan melancarkan perkhidmatan pengangkutan terus ke pelabuhan di Oman dalam usaha mereka melepasi “halangan” negara Teluk lain.

Arab Saudi sudah menutup sempadan darat tunggal Qatar, yang dilihat bakal menggugat import bekalan makanan mentah dan barangan kasar yang diperlukan untuk menyiapkan projek infrastruktur bernilai AS$200 bilion untuk Piala Dunia 2020.

Bagaimanapun, satu sumber memberitahu AFP yang persediaan Qatar untuk Piala Dunia masih diteruskan “seperti biasa”.

Iran, musuh utama Arab Saudi di rantau itu berkata yang ia bercadang menghantar lima pesawat membawa bahan bekalan ke Qatar, Ahad lalu.

Tiga kapal membawa 350 tan makanan juga dijangka akan bertolak dari Iran ke Qatar. Moroco juga mengeluarkan kenyataan hari ini yang mereka akan menghantar pesawat membawa bekalan makanan ke negara kecil kaya minyak Teluk itu. – 13 Jun, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen