Remaja lelaki mati otak selepas diserang, diliwat


Looi Sue-Chern

D. Shanti (tengah) ditenangkan ahli saudaranya di Hospital Pulau Pinang selepas anak lelakinya T. Nhaveen yang diserang sekumpulan remaja diisytiharkan mati otak dan mengalami kecederaan teruk di kemaluan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Looi Sue-chern, 12 Jun, 2017.

T. Nhaveen, 18, memasang impian menjadi komposer muzik. Dia merancang untuk mendaftar kursus itu di Kuala Lumpur tidak lama lagi.

Kini dia terbaring di katil hospital, diisytiharkan mati otak selepas diserang sekumpulan remaja seusianya pada malam Jumaat lalu.

Semalam, ibunya D. Shanti, 43, dan saudara maranya dikejutkan dengan satu lagi berita menakutkan. Nhaveen juga diliwat oleh penyerangnya.

Bapa saudaranya, M. Vincent berkata keluarga dimaklumkan mengenai kecederaan di dubur dan alat kelaminnya, selepas 36 jam Nhaveen dibawa ke Hospital Pulau Pinang.

“Kemaluannya dipusing. Berita itu menyedihkan ibunya. Dia trauma. Bila anaknya dikatakan sudah mati otak, Shanti terima berita itu. Tetapi yang ini, dia tidak dapat terima.

“Dia bimbangkan anaknya. Jika dia pulih, apa akan jadi pada masa depannya,” katanya kepada wartawan di Hospital Pulau Pinang awal hari ini.

Menurut siasatan polis, Nhaveen dari Taman Tun Sardon, Bukit Gelugor dipercayai dipukul pada lewat malam Jumaat apabila dia dan rakannya T. Previin, 19, bertembung dengan dua lagi remaja di gerai burger berhampiran taman perumahan itu.

Dua remaja lelaki itu mula mengganggu Nhaveen dan Previin. Apabila Nhaveen menyuruh mereka pergi, mereka panggil enam lagi remaja lelaki yang datang dengan motosikal.

Kumpulan itu memukul Nhaveen dan Previin dengan tangan dan topi keledar. Previin berjaya melarikan diri sementara Nhaveen dibawa kumpulan itu ke padang berhampiran.

Ketika ditemui dan dibawa ke hospital awal pagi Sabtu, Nhaveen sudah pun tidak sedarkan diri.

Polis setakat ini menahan sebahagian suspek termasuk pelajar kolej berusia 18 tahun pada Sabtu. Empat yang lain – pelajar kolej, 18; penganggur, 18; dan dua pelajar sekolah menengah berusia 17 tahun ditahan semalam.

Previin memberitahu polis dia tahu suspek yang menyerang mereka. Antaranya ialah rakan sekolah di SMK Dato Haji Mat Nor Ahmad yang memang sering membulinya dan Nhaveen.

Vincent dan ibu saudara mangsa, D. Sumathi, 42, berkata Nhaveen budak yang baik dan tidak suka cari masalah.

“Dia lembut orangnya. Serangga dalam rumah pun dia tak sanggup cederakan. Dia kutip dan bawa ke luar untuk lepaskan serangga itu.

Peguam Baljit Singh, mendesak polis menyiasat perkara itu dan mengemas kini maklumat kepada keluarga.

Ketua Polis Daerah Timur Laut Anuar Omar berkata polis sudah menemui keluarga mangsa dan memaklumkan mengenai siasatan dan tindakan yang diambil.

“Mereka tidak berpuas hati dengan hospital kerana tidak membuat pemeriksaan terperinci terhadap mangsa ketika dibawa ke hospital,” katanya. – 12 Jun, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen